Misi serampang dua mata skuad hoki dalam dewan

No Image Caption
A
A
A

SKUAD hoki dalam dewan negara mempunyai misi serampang dua mata pada kejohanan Indoor Asia Cup 2019 yang diadakan di Chonburi, Thailand.

Timbalan Presiden Kanan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Dr S. Shamala berkata, pasukan wanita diberi tugas penting untuk muncul juara manakala pasukan lelaki pula hanya perlu ke final untuk memastikan tiket ke Kejohanan Piala Dunia 2021.

“Indoor Asia Cup ini memang merupakan kelayakan untuk Kejohanan Piala Dunia. Jika kita menang dan layak, ini pertama kali dalam sejarah. Selain membawa misi penting untuk negara, kejohanan di Chonburi ini juga sebagai pemanas badan buat pasukan negara sebelum ke Sukan SEA Filipina,” katanya ketika ditemui di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

Pasukan lelaki negara diundi dalam Kumpulan A bersama-sama pasukan Iran, Thailand, Filipina dan Bangladesh manakala pasukan wanita pula berada dalam Kumpulan B bersama-sama Thailand, Taiwan dan Singapura.

Pasukan hoki dalam dewan lelaki berada pada ranking 24 dunia manakala pasukan wanita pula ditangga ke-33 dunia.

Shamala menjelaskan kejohanan itu juga menjadi penanda aras kepada keupayaan pasukan negara untuk memastikan pingat emas Sukan SEA Filipina menjadi milik Malaysia.

“Saya rasa kita berpeluang cerah untuk raih pingat emas di Sukan SEA nanti sebab pasukan negara pasti mendapat pendedahan yang cukup di Chonburi nanti, ada pasukan Iran yang boleh dikatakan agak kuat. Saya rasa ia (Indoor Asia Cup) merupakan tapak persediaan yang baik untuk pasukan kita sebelum ke Sukan SEA,” katanya.

Untuk rekod, pasukan lelaki dan wanita yang ditubuh khas pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur (KL2017) itu, masing-masing meraih pingat emas dan gangsa.

Artikel Berkaitan:

Sukan SEA 2019 di Filipina dijadual berlangsung pada 30 November hingga 11 Disember ini. - Bernama