Tiada kaitan dengan masalah lompat parti: Hassan

Hassan (tiga, kiri) ketika menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima pada program berkenaan.
Hassan (tiga, kiri) ketika menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima pada program berkenaan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menafikan keputusan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PKR Johor disebabkan tidak berpuas hati dengan kepimpinan yang berlaku dalam kerajaan PH.

“Tiada kaitan (perletakan jawatan), mengenai Ahli Perlimen ke Adun lompat itu bukan masalahnya. Keputusan yang saya ambil tiada kena mengena dan melibatkan mana-mana pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Sumbangan Kembali Ke Sekolah anjuran Ahli Majlis Bandaraya Johor Bahru Zon Permas dan Johor Jaya di sini, hari ini.

Sebelum ini, Hassan ialah pimpinan negeri yang sentiasa vokal memberi tentangan berhubung isu lompat parti yang semakin kerap berlaku kebelakangan ini.

Perkara itu kemudiannya menimbulkan khabar angin bahawa peletakan jawatannya sebagai Pengerusi PKR negeri disebabkan kecewa kerana isu itu terus berlaku.

Hassan berkata, keputusannya berundur sebagai jawatan itu juga adalah disebabkan mahu memberi laluan kepada pimpinan baharu yang lebih menonjol di masa hadapan.

“Saya pun dah jelaskan mengapa saya keluar, lagipun saya dah pegang jawatan Pengerusi dan Naib Pengerusi PKR ini sudah lama.

“Di Johor, PKR ada enam Ahli Parlimen lain bersama lima Adun, semua ini saya lihat ada kaliber dan boleh memimpin, saya hanya orang biasa dan sudah tiba masanya untuk serahkan kepada mereka yang lebih layak,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, meskipun tidak menjawat sebarang jawatan dalam kepimpinan pusat dan negeri, dirinya akan sentiasa memberi sokongan kepada pemimpin parti yang dipilih.

Terdahulu pada program berkenaan, seramai 100 pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan dari sekitar Pasir Gudang menerima menerima sumbangan kelengkapan sekolah bernilai RM80,00 setiap seorang.