Pengajaran daripada wabak penyakit di Kedah

No Image Caption
A
A
A

SUDAH lama kita tidak dikejutkan dengan wabak penyakit di negeri Jelapang Padi. Pada minggu terakhir Jun lalu, bagaikan satu kejutan apabila bandar raya Alor Setar disahkan berdepan dengan wabak chikungunya.

Gejala awal yang dikesan bermula pada 9 Jun itu berlaku di tengah-tengah pusat bandar raya dan ia amat mengejutkan! Apatah lagi ia turut menempatkan pejabat pihak berkuasa tempatan, Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS).

Dalam hal ini, tidak usahlah kita menuding jari mencari kesalahan pihak lain.

Jadikan ia iktibar agar semua pihak bermula daripada orang ramai hingga pemimpin setempat memainkan peranan masing-masing.

Jangan mudah selesa dengan kehidupan kita seharian dan jangan pula ‘lali’ dengan persekitaran yang kotor atau mungkin terlepas pandang. Jika bukan kita yang bangkit bersuara, memberi peringatan kepada semua untuk menjaga kebersihan, siapa lagi!

Sebolehnya, ketika mula-mula kes itu diumumkan, penulis akui cuba untuk tidak mendekati kawasan lokaliti pertama yang dikesan gejala terbabit iaitu di Jalan Tunku Ibrahim dan sekitar City Plaza.

Kisah wabak chikungunya di Kota Setar terbongkar apabila pada 23 Jun lalu, seramai 23 individu yang tinggal di deretan rumah kedai berhampiran City Plaza disyaki menghidap penyakit itu selepas mempunyai tanda-tanda demam, sakit sendi teruk dan ruam.

Daripada jumlah itu, 15 orang disahkan positif chikungunya menerusi hasil ujian darah.

Artikel Berkaitan:

Sehari selepas itu pula, wabak itu dikesan di Simpang Kuala dengan empat orang lagi disahkan positif. Namun penulis bersyukur, tiada lagi kes baharu chikungunya dilaporkan di dua lokaliti itu setakat 30 Jun lalu.

Penularan penyakit itu di Alor Setar kekal dengan 37 kes iaitu 30 kes di deretan kedai berhampiran City Plaza dan tujuh kes di Simpang Kuala.Syabas buat Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail yang bertindak pantas mengawal keadaan, malah sentiasa memberi kerjasama baik walaupun terpaksa belek WhatsApp 24 jam melayan kerenah media yang mahukan perkembangan terkini.

Tahniah juga kepada MBAS yang proaktif menjalankan gotong-royong perdana di kawasan berkenaan, sebaik mengetahui hot spot kawasan yang berisiko.

Jika dilihat persekitaran Alor Setar, tidak dinafikan bandar raya itu memiliki beberapa bangunan lama, usang dan terbiar, malah terdapat kawasan ditakungi air selain saliran perparitan yang agak lama. Namun itu tidak boleh dijadikan alasan untuk berasa selesa.

Aspek kebersihan harus diberikan keutamaan.

Apatah lagi, Alor Setar sudah pun mencecah usia 284 tahun, sudah tentu banyak infrastruktur yang harus dinaik taraf sejajar dengan usianya yang ‘warga emas’.

Malah beberapa kali Dr Norhizan mengingatkan orang ramai agar membersihkan persekitaran serta memusnahkan tempat pembiakan nyamuk aedes di kediaman dan premis masing-masing setiap minggu.

Ini kerana penyakit chikungunya berpunca daripada virus chikungunya yang disebarkan nyamuk aedes.

Syukur sangat kerana situasi kini sudah kembali normal. Malah geng media Kedah dapat ilmu baharu daripada Dr Norhizan tentang bagaimana untuk mengira tempoh wabak dijangka tamat.

Menurut beliau, untuk isytiharkan wabak tamat, kita perlu menunggu selama dua kali tempoh pengeraman (incubation period).

Tempoh pengeraman penyakit chikungunya adalah antara tiga hingga tujuh hari dan untuk menentukan tamatnya wabak, tujuh hari adalah pilihan terbaik.Ini bermakna tujuh hari didarabkan dengan dua kali tempoh pengeraman bersamaan 14 hari.

Cara pengiraan untuk menentukan tarikh jangkaan tamatnya wabak adalah berpandukan tarikh kes terakhir dinotifikasi, ditambah dengan 14 hari.

Berdasarkan kiraan, kes terakhir dinotifikasi pada 27 Jun, ditambah 14 hari dan jika tiada lagi kes baharu dikesan, wabak dijangka tamat pada 11 Julai 2019. Kita tunggu sahaja pengumuman rasmi daripada Jabatan Kesihatan Kedah.

Selepas Kedah bebas wabak chikungunya, jangan pula kita buat-buat tidak endah lagi kebersihan persekitaran. Kebersihan hendaklah dijaga berterusan, bukan bermusim.

*Roslinda Hashim ialah Ketua Wartawan Utara