Pro dan kontra takrifan baharu usia belia

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

ADA pihak yang menempelak Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebaik sahaja beliau mengumumkan mahu menukar takrifan had umur belia dari 18 tahun hingga 40 tahun kepada 15 hingga 30 tahun.

Majoriti menganggap cadangan tersebut tidak realistik kerana had usia tersebut terlalu singkat untuk golongan berkenaan berbanding sebelum ini.

Tidak kurang juga yang berpendapat skala usia tersebut terlalu mentah untuk membuat keputusan apabila mereka yang berada di dalam kelompok belia itu dipertanggungjawabkan untuk memegang sesuatu jawatan, khususnya melibatkan pentadbiran kerajaan negeri mahupun Persekutuan.

Namun, jika diperhalusi dan dipertimbangkan, ada pro dan kontranya cadangan yang disuarakan oleh Ahli Parlimen Muar itu.

Kalau dari sudut pronya, mereka yang berusia antara 15 hingga 30 tahun ini terdiri daripada individu yang agresif dan sentiasa mencabar diri untuk melakukan sesuatu yang baharu.

Mereka jarang mengalah dan sentiasa bersemangat dan mempunyai keazaman yang tinggi apabila melakukan sesuatu, tidak kira dalam apa bidang sekali pun sama ada lelaki mahupun wanita.

Namun, dari segi kontranya, cara pemikiran mereka masih diragui dan perlu dipimpin oleh golongan senior.

Golongan yang berada dalam skala usia antara 15 hingga 30 tahun ini biasanya belum matang dan mereka cenderung membuat keputusan berlandaskan emosi semata-mata.

Artikel Berkaitan:

Ya, tidak semua berkelakuan demikian namun majoriti pemikiran golongan berkenaan jauh daripada rasional malah banyak ruang lompong yang boleh dibahaskan apabila mereka mencadangkan atau melakukan sesuatu perkara.

Bagaimanapun, peluang harus diberikan kepada takrifan baharu belia itu bagi melihat sejauh mana belia generasi hari ini mampu mendepani cabaran membina negara dalam skala usia yang begitu singkat.

Semalam Syed Saddiq membentangkan semula Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi bacaan pertama di Dewan Rakyat sehari selepas ia ditarik balik.

Semua pihak perlu berlapang dada dengan segala keputusan yang dicapai selepas ini jika RUU itu mendapat sokongan majoriti ahli dewan.