Kalimah keramat pembangunan

A
A
A

PEMBANGUNAN adalah suatu kalimah keramat dalam sesebuah negara. Tanpa pembangunan, negara dianggap gagal (fail state).

Namun dalam pembangunan ada suatu keghairahan kebanyakan perancang negara iaitu pertumbuhan. Tanda pembangunan ialah pertumbuhan.

Akan tetapi suatu aspek sangat penting dalam pertumbuhan adalah pengagihan, inilah persoalan inti dalam pembangunan.

Kewujudan pembangunan yang bertumpu kepada pertumpuan tetapi tidak menekankan pengagihan adalah suatu dosa dalam membangunkan sesebuah negara.

Kini terdapat fenomena yang kaya semakin kaya dan krisis ketidakserataan (ineqaulity) menjadi semakin parah.

Mengikut laporan Oxfam tahun lepas, sejumlah 82 peratus kekayaan dunia yang dibangunkan tersalur kepada hanya 1 peratus golongan terkaya di dunia, manakala 3.7 bilion manusia yang termiskin di dunia tidak mendapat apa-apa.

Tahun yang lalu mencatat kewujudan bilangan golongan jutawan yang terbesar dalam sejarah, seorang jutawan setiap dua hari.

Oxfam mendapati peningkatan kekayaan mereka sebanyak AS$762 bilion dalam tempoh 12 bulan. Peningkatan yang luar biasa ini mampu mengatasi kemiskinan dunia tujuh kali ganda.

Artikel Berkaitan:

Realitinya sistem kapitalis memperkasa segelintir kelompok elit untuk meraih kekayaan dengan memerah keringat buruh, petani dan kelas pekerja. Sebuah kajian, Giants: The Global Power Elite oleh Profesor Philips mengenal pasti 17 firma pengurus aset terbesar di dunia sebagai 'gergasi' kapitalisme dunia.

Kumpulan ini menguruskan kewangan secara kolektif lebih AS$S41.1 trilion dalam jaringan pelaburan yang saling berkait di seluruh dunia dan menjadi institusi sentral modal kewangan yang menggerakkan sistem ekonomi global.

Institusi transnasional seperti Bank Dunia, IMF, WTO dan lain-lain berfungsi sebagai institusi yang menentukan mekanisme untuk kapitalis dan golongan elit menggubal dan mengimplementasi polisi yang disepakati sesama mereka.

Pokoknya institusi transnasional itu hanya berkhidmat kepada firma gergasi kewangan global dengan menyokong polisi dan peraturan yang diwujudkan untuk melindungi aliran modal dan mengutip hutang seluruh dunia untuk firma-firma gergasi itu.

Lebih parah, golongan elit ini bergabung menyokong empayar tentera Amerika Syarikat (AS)/NATO yang melancarkan penindasan ke atas kumpulan menentang polisi mereka dengan melabel mereka teroris di serata dunia.Agenda

Pada hakikatnya tujuan sebenar memerangi terorisme seperti yang dicanang AS adalah sebenarnya untuk melindungi agenda globalisasi syarikat transnasional, memberi laluan kepada aliran modal secara bebas di seluruh dunia, hegemoni Dolar dan akses kepada sumber minyak; ia tidak ada kena mengena dengan menangani terorisme yang sebenarnya ditumbuhkan, dibiar berkembang dan ditaja oleh syarikat dan kuasa imperialis Barat itu sendiri agar menyembunyikan agenda mereka yang sebenar iaitu mendominasi ekonomi dunia. Sebab itu AS selama ini mempunyai tradisi operasi agensi inteligennya CIA dan tenteranya di sekitar dunia untuk mempertahankan kepentingan nasional AS.

Pemusatan modal di tangan segelintir elit mengakibatkan golongan bawahan daripada populasi dunia melalui proses pemiskinan semakin parah dan penurunan upah kerja sehingga 80 peratus di dunia.

Dunia berdepan krisis ekonomi dan penyelesaian ekonomi neoliberal adalah dengan cara mengurangkan perbelanjaan kepada keperluan penduduk dan meningkatkan perbelanjaan sekuriti.

Situasi kini ialah institusi kewangan dunia sedang meraba-raba untuk mendepani ekonomi yang sedang semakin porak-peranda.

Penyelesaian yang diambil ialah dengan mencetak lebih banyak wang dan menyuntik dunia dengan wang Dolar, konon atas nama memperkenalkan wang baharu dalam bekalan wang dalam pasaran oleh bank pusat (quantatitative easing).

Dunia dibanjirkan dengan wang yang dicetak bertrilion dolar yang sebenarnya akan meningkatkan inflasi. Ini adalah perang yang tidak berkesudahan di mana berbelanja untuk memusnah akan memerlukan perbelanjaan untuk membina semula.

Pembangunan, pertumbuhan dan pengagihan adalah ciri yang sangat penting jika sebuah negara mahu kesejahteraan kehidupan rakyat dalam erti kata sebenar.

Penumpuan kekayaan di tangan segelintir kelompok yang dilindungi pula oleh penumpuan kuasa di tangan individu dan kumpulan elit menjadikan keadaan lebih parah.

Apa diperlukan ialah tonggak pemerintahan mesti mengutamakan keadilan, kesaksamaan, ketelusan dan kebertanggungjawaban.

* Mohd Azmi Abd Hamid ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu