Pemansuhan tol secara total

Gambar hiasan. (Gambar kecil: Ahmed Razman)
A
A

MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng memberi gambaran kerajaan mampu memansuhkan sepenuhnya kutipan tol atau caj kesesakan bagi empat lebuh raya yang bakal diambil alih bergantung kepada kedudukan kewangan negara.

Caj kesesakan yang dikenakan sepanjang tempoh baki konsesi yang bakal dikutip bermula 1 Januari 2020 juga dinyatakan cukup untuk kerajaan menampung pembayaran hutang sebanyak RM6.2 bilion bagi pengambil alihan tersebut sekali gus menjadikannya sifar kos kepada kerajaan.

Sekiranya kutipan tetap perlu dibuat, ia hanya untuk menampung kos operasi dan penyelenggaraan dan menjamin kadar yang lebih rendah seterusnya memberi keuntungan kepada pengguna. Ikuti pandangan Penganalisis Ekonomi, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff mengenai perkara tersebut.

Bagaimana prof melihat kemampuan kerajaan dari segi melaksanakan pemansuhan sepenuhnya ini?

Ahmed Razman: Kerajaan mampu melaksanakan pemansuhan sepenuhnya jika berjaya mengenal pasti sumber pendapatan baharu yang dapat menampung kos penyelenggaraan lebuh raya tersebut. Antara contoh pendapatan baharu tersebut ialah ruang pengiklanan dan ruang berniaga di sepanjang lebuh raya tersebut.

Adakah perkara itu benar-benar mampu memberi impak keuntungan kepada pengguna?

Ahmed Razman: Ia akan memberi impak positif kepada pengguna yang menggunakan lebuh raya tersebut pada waktu tidak sibuk (off peak). Namun pengguna yang terpaksa menggunakan lebuh raya tersebut pada waktu sibuk (peak period) tidak akan menikmati apa-apa kelebihan atau keuntungan.

Caj kesesakan yang bakal dikenakan kepada pengguna dapat menampung pembayaran hutang. Jadi adakah adil untuk pengguna menampung pula kos operasi dan penyelenggaraan dengan caj yang mungkin dikenakan?

Ahmed Razman: Di negara barat, kos lebuh raya ditampung melalui cukai jalan raya yang tinggi. Namun ini tidak adil untuk dilakukan di Malaysia kerana lebuh raya tersebut digunakan oleh segelintir pengguna dan bukan semua pemandu di Malaysia. Kecuali jika semua tol dihapuskan maka cukai jalan boleh dinaikkan untuk menampung kos penyelenggaraan lebuh raya di Malaysia.

Jadi apakah langkah paling relevan yang wajar dilaksanakan kerajaan untuk memastikan pemansuhan sepenuhnya kutipan tol ini dapat direalisasikan?

Ahmed Razman: Buat masa ini caj kesesakan nampak lebih sesuai sehingga kerajaan berjaya mewujudkan punca pendapatan yang baharu daripada lebuh raya ini dengan mewujudkan ruang untuk perniagaan mengiklankan barangan mereka di sepanjang lebuh raya tersebut. Pendapatan daripada hasil pengiklanan akan dapat menampung kos penyelenggaraan lebuh raya tersebut.