Shafie Apdal gesa pegawai daerah segerakan projek pembangunan

Mohd Shafie bersalaman dengan ketua-ketua syarikat minyak dan gas yang mengambil bahagian pada Persidangan dan Pameran Minyak dan Gas Sabah hari ini. -Foto Bernama
A
A

KOTA KINABALU - Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini mengarahkan pegawai-pegawai daerah di Sabah supaya melaksanakan projek-projek pembangunan di daerah masing-masing dengan kadar segera memandangkan kerajaan telahpun mengagihkan dana yang diperlukan ke semua daerah.

Katanya beliau mahu supaya para pegawai daerah bergerak pantas dalam melaksanakan projek-projek berkenaan, bagi membolehkan hasil kesan pembangunan berganda dapat dinikmati oleh penduduk setempat dengan pantas.

"Pelaksanaannya setakat ini dilihat amat perlahan,” semasa berucap di sesi mesyuarat dengan pegawai-pegawai daerah di Sabah di Pusat Pentadbiran Kerajaan Sabah di sini hari ini.

Beliau seterusnya menekankan kepada kepentingan mentadbir serta menguruskan kawasan dengan lebih sistematik demi keselesaan orang ramai, kerana menurutnya ketika ini ada sesetengah perancangan dibuat dengan buruk sekali apabila ada tempat-tempat di mana rumah ibadat, bengkel dan kedai-kedai makan dilihat terletak bersebelahan antara satu sama lain.

Shafie turut menggesa para pegawai daerah supaya sentiasa turun padang untuk mengenali kawasan masing-masing dengan lebih dekat, seterusnya mengenal pasti sebarang masalah berkaitan infrastruktur atau isu-isu sosial, yang mana perlu diberi keutamaan.

"Fahami, apa yang menjadi masalah utama daerah anda. Kawasan seperti Lahad Datu umpamanya di mana isu keselamatan amat penting, pegawai daerah perlu menjadi isu keselamatan sebagai keutamaan tertinggi,” katanya dan menambah mereka juga perlu bertindak bijak dalam mencari penyelesaian kepada sebarang masalah yang timbul. -Bernama