Waytha Moorthy patut nilai sendiri prestasinya

Dr Awang Azman Awang Pawi
Dr Awang Azman Awang Pawi
A
A
A
SHAH ALAM - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy sepatutnya menilai sendiri prestasinya sebagai menteri dan adakah dalam tempoh tujuh bulan ini, beliau berjaya melaksanakan tugasnya.

Pandangan itu disuarakan penganalisis politik dari Universiti Malaya, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ketika diminta mengulas kewajaran menteri itu meletak jawatan selepas ramai pihak mendesaknya berbuat demikian.

Menurut beliau, kebanyakan rakyat melihat Waytha Moorthy kurang mampu menjadi Menteri Perpaduan dan Kesejahteraan Sosial khususnya dalam isu Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD) dan rusuhan kuil.

“Warthya Moorthy sendiri patut menilai sendiri prestasinya sebagai menteri perpaduan, adakah tujuh bulan ini tugasnya sebagai menteri perpaduan berjaya. Jika berjaya apa pula kriteria dan ukurannya?

“Dalam isu ICERD, beliau gagal memahami sentimen masyarakat Melayu dan agama Islam namun tidak mahu meminta maaf atas kekhilafan tersebut hingga mencetuskan demonstrasi ratusan ribu protes,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah beliau, dalam isu rusuhan kuil pula, Waytha Moorthy dilihat gagal bertindak secara objektif malah tindakannya menyebabkan orang India marah hingga anggota bomba tidak berdosa menjadi korban.

“Ini membangkitkan kemarahan rakyat kepada beliau sebagai menteri dan pemimpin PH. Kesannya, kerajaan PH kini menjadi merudum populariti hingga populariti Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad turut merudum.

“Ia berpunca daripada kegagalan Waytha Moorthy tangani isu-isu yang melibatkan etnik dan agama serta rusuhan kuil,” ujarnya.

Selepas tercetusnya rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman Seafield bulan lepas, banyak pihak mendesak Waytha Moorthy meletakkan jawatan kerana menganggap beliau gagal menangani isu tersebut dengan baik.
Artikel Berkaitan:


Begitupun, sehingga kini beliau masih belum meletakkan jawatan meskipun desakan kian memuncak saban hari.