Kumar kembali semula ke skuad negara pada jelajah Eropah

Penjaga Gol, S Kumar (kiri) melihat rakan sepasukan berlatih membuat pukulan sudut penalti pada sesi latihan skuad Hoki Kebangsaan sebagai persediaan sebelum berlepas ke Eropah pada 21 Julai ini untuk menghadapi siri perlawanan persahabatan sebagai rangka persiapan bagi kelayakan Sukan Olimpik 2020. - Foto BERNAMA
Penjaga Gol, S Kumar (kiri) melihat rakan sepasukan berlatih membuat pukulan sudut penalti pada sesi latihan skuad Hoki Kebangsaan sebagai persediaan sebelum berlepas ke Eropah pada 21 Julai ini untuk menghadapi siri perlawanan persahabatan sebagai rangka persiapan bagi kelayakan Sukan Olimpik 2020. - Foto BERNAMA
A
A
A

SELEPAS hampir lima bulan berehat akibat kecederaan, penjaga gol berpengalaman, S. Kumar kembali disenaraikan dalam skuad negara bagi menghadapi siri Jelajah Eropah, bermula 25 Julai ini.

Kehadiran penjaga gol berusia 40 tahun itu dijangka mampu memberi impak kepada prestasi pasukan kendalian Roelant Oltmans pada siri jelajah itu, sebagai persiapan menghadapi aksi playoff kelayakan Sukan Olimpik 2020 yang dijadual berlangsung November ini.

Sebelum ini, Kumar terpaksa diketepikan daripada skuad negara selepas mengalami kecederaan koyak otot paha yang dialami ketika saingan Liga Hoki Malaysia, Februari lepas, yang menyaksikan dia terlepas aksi Pusingan Akhir Siri FIH di sini, bulan lalu.

Sementara itu dua muka baharu, penjaga gol Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Adrian Andy Albert dan penyerang muda mewakili kelab Tenaga Nasional Berhad (TNB), Muhammad Noor Firdaus Rosdi, adalah antara 20 pemain yang dipilih untuk menghadapi siri Jelajah Eropah itu.

Sebagai rekod, Muhammad Noor Firdaus adalah sebahagian pemain memenangi pingat emas ketika Sukan Olimpik Remaja di Buenos Aires, Argentina, tahun lalu.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal ketika mengumumkan senarai pemain itu hari ini, berkata pasukan negara dijadual berlepas ke Eropah pada 21 Julai dan akan bertemu Jerman, Sepanyol, England, Ireland dan Belgium pada siri jelajah tersebut.

"Kita akan bertemu lima pasukan utama Eropah dan ini satu pengalaman dan peluang yang tidak mudah untuk diperoleh. Kalau dulu peluang agak sukar, tapi sebab kita pun sudah berada di ranking ke-12 dunia, jadi peluang lebih mudah.

"Seperti kita tahu, pasukan negara ada misi penting untuk kelayakan Sukan Olimpik, jadi kita buat keputusan untuk beri mereka sebanyak mungkin pendedahan untuk pastikan kita layak ke Sukan Olimpik selepas 20 tahun," katanya di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Dusseldorf, Jerman, menjadi venue pertama buat skuad kendalian Oltmans pada 25 Julai sebelum ke Terrassa, Sepanyol untuk menyertai Kejohanan Empat Penjuru dengan aksi pertama berdepan pasukan tuan rumah pada 1 Ogos, diikuti Ireland (2 Ogos) dan England (4 Ogos).

Seterusnya Malaysian Tigers akan ke Breda untuk perlawanan persahabatan menentang pasukan Belanda pada 6 dan 8 Ogos, manakala destinasi terakhir adalah di Antwerp, berdepan Belgium pada 9 dan 12 Ogos.

Selepas mengharungi Jelajah Eropah, pasukan negara akan Tokyo bagi menguji venue Sukan Olimpik 2020 yang bakal menyaksikan aksi persahabatan bertemu Jepun, Australia dan New Zealand pada 19 hingga 23 Ogos.

Sebagai persiapan terakhir sebelum memulakan aksi kelayakan Sukan Olimpik 2020, Malaysia dijangka berdepan Korea Selatan dalam satu perlawanan persahabatan pada September ini.

Senarai pemain ke siri Jelajah Eropah:

Penjaga gol: S. Kumar, Adrian Andy Albert

Pertahanan: Mohamad Sukri Abdul Mutalib, Faiz Helmi Jali, Muhammad Najib Abu Hassan, Syed Mohammad Syafiq Syed Cholan, Muhammad Razie Abd Rahim, Muhammad Arif Syafie Isyak

Pemain Tengah: Joel Samuel Van Huizen, Muhammad Marhan Mohd Jalil, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi, Meor Muhamad Azuan Hasan, Mohd Fitri Saari, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal

Penyerang: Faizal Saari, Norshafiq Sumantri, Muhammad Shahril Saabah, Mohamad Akhimullah Anuar Esook, Muhammad Noor Firdaus Rosdi, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil.- Bernama