'Jangan tertipu dengan durian longgok'

Fauzi (tengah) menunjukkan isi 'raja buah' yang dijual sempena Kempen 'jom lebihkan makan buah-buahan tempatan' menerusi Program Jualan Buah-Buahan Bermusim di Pasar Tani Padang Hiliran, di sini hari ini.
Fauzi (tengah) menunjukkan isi 'raja buah' yang dijual sempena Kempen 'jom lebihkan makan buah-buahan tempatan' menerusi Program Jualan Buah-Buahan Bermusim di Pasar Tani Padang Hiliran, di sini hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pengguna dinasihatkan supaya lebih teliti dan tidak mudah tertipu dengan jualan durian secara longgok kerana ada antaranya tidak boleh dijangka sama masih mengkal (belum masak) atau buah yang telah lama gugur.

Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Terengganu, Fauzi Mohamed berkata, kebanyakan pengguna lebih terpesona dengan jualan durian secara longgok tanpa memeriksa terlebih dahulu kualiti raja buah itu sebelum dibeli.

"Saya syorkan supaya pengguna tidak mudah tertipu dengan durian longgok. Kita biasanya mudah tergoda dengan jualan buah secara longgok kerana mahukan harga yang lebih murah tanpa memeriksa terlebih dahulu sama ada buah itu masih muda, terlalu masak atau buah lama.

"Lagipun, buah longgok tidak boleh dipilih dan ditukar dengan buah lain. Jadi, FAMA mengesyorkan supaya ia dibeli secara timbang supaya boleh pilih yang terbaik, buah 'comel' dan menepati cita rasa," katanya ketika ditemui sempena Program Jualan Buah-Buahan Bermusim di Pasar Tani Padang Hiliran, di sini hari ini.

Fauzi berkata, peniaga mempunyai kaedah tersendiri untuk melariskan jualan, namun, pengguna juga mempunyai hak untuk lebih sensitif dan berhati-hati sebelum membeli bagi mengelak ditipu.

Dalam pada itu, ditanya mengenai kempen memboikot durian timbang yang dilakukan menerusi laman sosial, katanya ia bergantung kepada peniaga untuk memasarkan buah-buahan mereka.

Fauzi (empat dari kiri) melihat buah durian yang dijual di Pasar Tani Padang Hiliran di sini.
Fauzi (empat dari kiri) melihat buah durian yang dijual di Pasar Tani Padang Hiliran di sini.

"Jualan secara longgok atau timbang kedua-duanya masih mengekalkan kulit durian. Jika tidak mahu tertipu pengguna boleh beli durian yang dijual di dalam bekas. Dengan cara itu kita boleh tahu isi buah itu macam mana, namun, harganya mungkin sekali ganda.

Artikel Berkaitan:

"Sebenarnya sama sahaja, kalau kita beli durian timbang pada harga RM8 hingga RM10 sekilogram (kg), apabila kita beli isi durian sahaja harganya mungkin mencecah RM20 sekilo," katanya.

Bagaimanapun, katanya, terpulang kepada setiap individu untuk memilih membeli durian mengikut cara yang digemari.

"Biasa ada yang nak buah berbiji, ada yang suka buah yang dimakan terus dan ada yang suka beli buah yang telah dikupas, bergantung pada apa yang kita minat," katanya.

Kempen 'jom lebihkan makan buah-buahan tempatan' sempena Program Jualan Buah-Buahan Bermusim di Pasar Tani Padang Hiliran hari ini menyediakan 15 tan buah durian yang diperoleh dari Johor Bahru dan Melaka serta dijual pada harga RM5 hingga RM14 sekilogram.

Antara jenis durian yang dijual ialah durian klon seperti D13, udang merah, D101, D24, D18, D768 dan durian kampung.

Fauzi berkata, beliau menjangka, kempen itu akan diluaskan ke daerah lain sekiranya menerima sambutan hangata.

"Hari ini sambutan diterima cukup hebat di mana orang ramai telah datang mendapatkan durian yang dijual bermula jam 7 pagi lagi. Sekiranya jualan ini berjaya, kita akan buat jualan begini pada setiap minggu dan akan diluaskan juga ke pasar tani yang lain," katanya.