Keperluan hakim di Mahkamah Syariah NS mendesak

Mohammed (dua dari kanan) menyampaikan sijil pentauliahan kepada Panel Hakam Negeri di Klana Resort Seremban hari ini.
Mohammed (dua dari kanan) menyampaikan sijil pentauliahan kepada Panel Hakam Negeri di Klana Resort Seremban hari ini.
A
A
A

SEREMBAN - Keperluan hakim di Mahkamah Syariah negeri ini, adalah sangat mendesak bagi menyelesaikan kes berkaitan syarie yang tertunggak sejak beberapa tahun lalu.

Ketua Hakim Syarie, Abas Nordin berkata berdasarkan rekod tahun 2018, hampir 7,000 kes syarie didaftar namun, hanya 59 peratus sahaja kes berjaya diselesaikan, berbanding KPI yang ditetapkan 80 peratus.

Katanya, kegagalan pihaknya untuk mencapai KPI yang ditetapkan adalah disebabkan bebanan kerja kes yang terlampau banyak, di samping kekurangan hakim dan kakitangan sokongan untuk melaksanakan tugas.

“Setiap hari hakim di Mahkamah Tinggi akan menjalankan bicara antara 15 hingga 20 kes, pagi petang hakim akan menjalankan perbicaraan, kita di sini hanya ada dua orang sahaja hakim Mahkamah Tinggi untuk melihat hampir 7,000 kes.

“Kes syarie yang didaftar terlampau banyak, sehingga tempoh 30 Jun lalu, kita telah menerima pendaftaran kes baharu sebanyak 4,000 dan kita menjangkakan sehingga penghujung tahun ini boleh mencecah sehingga 9,000 kes, berbanding tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pentauliahan Peguam Syarie dan Panel Hakam Negeri Sembilan, di Klana Resort Seremban, dekat sini semalam.

Majlis pentauliahan tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, Datuk Mohammed Husein.

Tambah Abas, pihaknya telah membuat permohonan kepada kerajaan, termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengenai keperluan penambahan penjawatan, hakim syarie, berikutan jumlah yang ada sebanyak sekarang ini tidak mencukupi.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan sangat berharap permohonan untuk penambahan penjawatan dan mendapat sekurang-kurangnya seorang lagi hakim di Mahkamah Tinggi diluluskan, sekali gus membantu mempercepatkan proses penyelesaian kes.

Sebahagian Peguam Syarie dan Panel Hakam Negeri Sembilan pada Majlis Pentauliahan di Klana Resort Seremban, dekat sini hari ini.
Sebahagian Peguam Syarie dan Panel Hakam Negeri Sembilan pada Majlis Pentauliahan di Klana Resort Seremban, dekat sini hari ini.

Dalam pada itu, Abas memberitahu kerajaan negeri telah bersetuju untuk membina sebuah lagi Mahkamah Syariah di daerah Jempol, bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

Katanya, masyarakat di sekitar Jempol, Kuala Pilah dan Jelebu selepas ini tidak perlu lagi datang ke Mahkamah Syariah di Sendayan, sebaliknya semua kes syarie akan dijalankan di mahkamah baharu itu nanti.

“Kerajaan negeri telah bersetuju satu lagi Mahkamah Tinggi akan dibina di daerah Jempol, kelulusan sudah ada, kemungkinan pada hujung tahun ini, atau tahun depan akan dilaksanakan.

“Sekarang ini mereka yang duduk di Jempol, Kuala Pilah, Jelebu perlu datang ke Sendayan, dengan jarak sekurang-kurangnya 120 kilometer sehala, dan kita yakin mereka gerak ke Seremban sebelum Subuh untuk menghadiri bicara yang bermula seawal 8.30 pagi,” katanya.

Dalam pada itu, Mohammed, ketika ditanya mengenai pelantikan transgender dalam agensi kerajaan, beliau menegaskan bahawa pelantikan itu tidak menjadi kesalahan.

Katanya, masyarakat perlu melihat perkara itu dari sudut positif, ada kemungkinan itu adalah salah satu pendekatan yang digunakan untuk mendekati golongan tersebut secara berhemah.

“Kita tidak menolak mereka tetapi mahu memberi kesedaran kepada mereka, bagi bimbingan dan nasihat, mungkin pendekatan yang digunakan ini dapat membantu mereka kembali, maka kita perlu bersangka baik,” katanya.