2,000 serah borang keahlian Bersatu

Sebanyak 2,000 borang keahlian diserahkan, hari ini.
Sebanyak 2,000 borang keahlian diserahkan, hari ini.
A
A
A
SHAH ALAM - Seramai 2,000 ahli Pertubuhan Kinabalu Bersatu (PKB) menyerahkan borang keahlian bagi menyertai parti Bersatu, hari ini.

Pengerusinya, Adzmi KK Juatan berkata, kesemua mereka terdiri dalam kalangan anak-anak Sabah yang menetap di Semenanjung dan keputusan menyertai Bersatu adalah sebagai tanda sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"PKB adalah satu pertubuhan yang mengumpulkan anak-anak Sabah yang menetap di Semenanjung dan setakat ini kita mempunyai keahlian sekitar 4,000 orang.

"Pada hari ini, kita telah serahkan 2,000 borang keahlian untuk menyertai Bersatu. Kita memilih parti Bersatu kerana yakin dengan hala tuju parti serta corak kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Kami juga yakin akan ada lagi di kalangan ahli PKB yang akan menyertai Bersatu dari semasa ke semasa," katanya kepada pemberita.

Kesemua borang keahlian menyertai Bersatu itu diserahkan oleh Adzmi kepada Ahli Dewan Tertinggi Bersatu yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya.

Sementara itu, Abu Bakar menyifatkan penyerahan 2,000 borang keahlian daripada PKB itu sebagai satu perkembangan yang positif bagi parti Bersatu.

"Kita alu-alukan anak-anak Sabah di bawah PKB yang ingin bersama Bersatu dan saya akan serahkan borang keahlian ini ke peringkat pimpinan pusat.

"Sebagai parti baharu, kita tak letak sasaran jumlah keahlian. Kalau boleh mestilah kita nak seramai mungkin, namun saya lihat ini menunjukkan penerimaan rakyat terhadap Bersatu sangat positif, menakjubkan.
Artikel Berkaitan:


"Saya juga pesan kepada mereka, walaupun sertai Bersatu di sini, tapi bila mengundi dan jika mereka pulang ke Sabah kena undi parti komponen PH," katanya.

Terdahulu, Abu Bakar hadir ke Program Jalinan Silaturahim Anak-anak Sabah Kembali Ke Sekolah bagi menyampaikan sumbangan beg sekolah kepada kira-kira 100 kanak-kanak yang bakal menghadapi penggal persekolahan akan datang.

Hadir sama, Ketua Balai Polis Sri Muda, Asisten Superitendan Norzamri Shamsuri serta selebriti, Azharina Azhar yang turut memeriahkan program yang berlangsung di Dewan Kamunting Seksyen 25.