X

Kindly register in order to view this article
!

Warga Myanmar terlibat sindiket kad UNCHR palsu ditahan

Antara peralatan yang dirampas daripada suspek. Gambar kecil: Nik Ros Azhan
A
A

BUKIT MERTAJAM- Polis menahan dua lelaki warga Myanmar yang dipercayai terlibat dalam sindiket pemalsuan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dalam serbuan di sebuah rumah di Simpang Empat, Bukit Tengah di sini malam semalam.

Dalam serbuan yang dilakukan jam 9 malam itu, polis menemui sebanyak 42 keping kad UNHCR atas pelbagai nama yang disyaki palsu dan 25 keping kad UNHCR tidak tercetak sepenuhnya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, kedua-dua lelaki berkenaan yang berusia 50 dan 27 tahun dipercayai melakukan kegiatan itu sejak beberapa bulan lalu dengan menjual kad pelarian UNCHR kepada warga asing dan mengaut keuntungan tinggi.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di rumah berkenaan turut menemui beberapa dokumen seperti lesen memandu, kad perakuan nikah dan gambar dipercayai pemohon kad UNCHR berkenaan.

"Turut dirampas sebuah telefon bimbit, satu unit komputer riba, mesin pencetak kad ID, empat unit kartij pewarna, pendrive serta beberapa barangan elektrik yang digunakan untuk mencetak kad palsu.

"Hasil soal siasat dapati rumah tersebut disewa oleh salah seorang suspek sejak 6 bulan lalu dan dijadikan tempat untuk memproses dan mencetak kad palsu berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini.

Nik Ros Azhan berkata, setiap keping kad UNHCR dijual kepada warganegara Myanmar yang tiada pengenalan diri antara RM50 hingga RM300.

Katanya, semua kad UNCHR yang dirampas daripada mereka akan dihantar ke pejabat UNCHR untuk semakan dan pengesahan ketulenan dan barangan lain di hantar ke unit forensik untuk tujuan analisa.

Beliau berkata, kedua-dua suspek berkenaan kini direman selama 14 hari untuk tindakan lanjut dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (1) Akta Imigresen 1959/63.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!