Agong, Raja Permaisuri berkenan sambut hari jadi PM, isteri

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (kiri) dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan meraikan ulang tahun kelahiran Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali pada istiadat persembahan darjah kebesaran Darjah Yang Maha Utama Darjah Kerabat Diraja Malaysia (D.K.M) dan Darjah Utama Seri Mahkota Negara (D.M.N) di Istana Negara hari ini.
 -Foto Bernama

A
A
A

KUALA LUMPUR - Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali hari ini menerima kejutan daripada Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong yang berkenan menganjurkan sambutan hari jadi "impromptu” (mengejut) buat mereka di Istana Negara di sini.

Detik-detik istimewa itu berlangsung selepas penyampaian Darjah Yang Maha Utama Darjah Kerabat Diraja Malaysia (D.K.M) kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pada istiadat yang sama, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menerima Darjah Utama Seri Mahkota Negara (D.M.N).

Istiadat persembahan darjah kebesaran kepada Seri Paduka berdua disampaikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mewakili kerajaan.

Dr Mahathir kelihatan benar-benar terkejut apabila kek khas bersama pulut kuning dibawa masuk ke dalam bilik untuk meraikan hari ulang tahun kelahiran beliau yang ke-94 yang tarikhnya jatuh semalam. Dr Siti Hasmah pula akan menyambut hari ulang tahun kelahiran yang ke-92 esok.

Seri Paduka berdua berkenan berangkat menyertai majlis itu sebaik para hadirin menyanyikan lagu ‘Selamat Hari Jadi’ kepada Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah pada acara memotong kek.

Kek berbentuk piano berwarna hitam dan putih itu dihiasi dengan bunga-bungaan, sebuah biola mini, sekeping nota muzik dan buku-buku -- mungkin untuk menggambarkan kegemaran Dr Mahathir membaca dan kecintaan Dr Siti Hasmah kepada muzik.

Perdana Menteri dan isteri yang telah mendirikan rumah tangga sejak 63 tahun lepas, kemudian saling menyuapkan potongan kek dan saat-saat bahagia itu turut berkenan disaksikan oleh Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong.

Artikel Berkaitan:

Yang turut hadir untuk menyaksikan kedua-dua istiadat ialah Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dan Menteri Besar Pahang Menteri, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. -Bernama