KPM minta pengetua, guru besar berhati-hati pilih penceramah

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM – Semua pengetua dan guru besar di negara ini diminta berhati-hati sekiranya mahu mengundang penceramah dalam mana-mana program sekolah.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi kenyataan medianya hari ini berkata, ini penting bagi mengelak supaya tiada sebarang prasangka atau rasa tidak senang timbul dalam kalangan warga sekolah.

“Dalam aspek ini, pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) telah memanjangkan peringatan KPM kepada semua pengetua dan guru besar mengenai kaedah pemilihan penceramah supaya tidak menimbulkan prasangka yang tidak baik atau rasa tidak senang dalam kalangan warga sekolah, guru dan murid,” katanya.

Kenyataan itu bagi mengulas mengenai laporan sebuah portal berita berkaitan dengan program ceramah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lunas, Kulim, Kedah, Khamis lalu yang dianggap kontroversi selepas beberapa pihak mempersoalkan kehadiran Firdaus Wong sebagai penceramah.

Menurut kenyataan itu, program ceramah berkenaan merupakan inisiatif sekolah tersebut sebagai pengisian kepada program ceramah sahsiah unggul murid yang disampaikan oleh penceramah motivasi Firdaus Wong.

“Sepanjang sesi ceramah, tiada sebarang unsur yang melibatkan sensitiviti agama dan kaum yang disentuh oleh penceramah terbabit kerana pihak sekolah telahpun memaklumkan beliau perkara-perkara yang perlu dielakkan demi keharmonian warga sekolah, guru dan murid,” katanya.

Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan program ceramah motivasi di SMK Lunas, Kedah, baru-baru ini menjadi kontroversi selepas beberapa pihak mempersoalkan kehadiran Firdaus Wong sebagai penceramah yang mencetuskan rasa kurang puas hati dalam kalangan penganut Hindu di negara ini.

Firdaus Wong yang sering memperkenalkan diri sebagai anak murid pendakwah Dr Zakir Naik didakwa membuat 'ceramah agama' kepada pelajar bukan Muslim.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy mengecam kewajaran KPM membenarkan pendakwah agama seperti Firdaus berceramah dalam kalangan pelajar bukan Muslim.

Ramasamy turut mempersoalkan sama ada KPM sedar tentang program tersebut yang disifatkannya sebagai ‘pengajaran halus’ yang berlaku di sekolah itu.

Bagaimanapun, Firdaus mempertikai dakwaan tersebut dengan mempertahankan dirinya bahawa beliau hanya membuat ceramah motivasi.

Firdaus berkata, program itu bertajuk 'Menjadi Lelaki Cemerlang' yang turut melibatkan guru-guru Islam dan bukan Islam bertujuan untuk membantu pelajar melihat dari sudut yang berbeza untuk menuju kehidupan yang cemerlang tanpa menjadi materialistik.