Lelaki Thailand maut dirempuh kereta

Keadaan kemalangan maut di Jalan Rantau Panjang-Pasir Mas berhampiran simpang masuk ke Kampung Gual Pasung Hantu petang tadi.
A
A

RANTAU PANJANG - Seorang lelaki warga Thailand maut selepas motosikal yang ditungganginya dirempuh kereta dalam kejadian di Jalan Rantau Panjang-Pasir Mas berhampiran simpang masuk ke Kampung Gual Pasung Hantu petang tadi.

Dalam kejadian jam 4.20 petang itu, mangsa Mohamanor Yusoh, 52, yang berasal dari Narathiwat maut selepas mengalami kecederaan parah.

Difahamkan kejadian berlaku apabila kereta Proton Waja dari arah Rantau Panjang ke Pasir Mas terlanggar sebuah Perodua Myvi yang sedang berhenti untuk masuk ke simpang Kampung Gual Pasung Hantu.

Akibat pelanggaran itu menyebabkan Perodua Myvi merempuh bahagian belakang motosikal yang ditunggangi Mohamanor.

Mohamanor yang mengalami kecederaan parah meninggal di lokasi kejadian.

Ketua Balai Bomba Rantau Panjang, Penolong Penguasa Bomba Imran Ismail berkata, lokasi kemalangan itu berdekatan dengan balai bomba.

Katanya, sejurus dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat itu sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

"Sejurus anggota bomba tiba, mangsa didapati telah meninggal dunia," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia