Bekas Polis Bantuan disyaki edar dadah

Abd Rahim (tengah) bersama Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Idzwan Mokhti (kanan) dan Inspektor Siti Noramirah Ahmad Seburi menunjukkan sebahagian rampasan termasuk kad kuasa Polis Bantuan milik salah seorang suspek pada sidang media di Bilik Mesyuarat IPD Kuala Terengganu hari ini.
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang bekas polis bantuan antara empat individu yang ditahan di Kampung Kesom, Manir di sini semalam kerana disyaki terlibat dengan pengedaran dadah di sekitar daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abd Rahim Md Din berkata, bekas konstabel berusia 33 tahun itu ditahan bersama tiga lagi rakannya dalam serbuan di sebuah rumah jam 11.25 pagi.

"Ketika serbuan kesemua suspek sedang berkumpul disyaki untuk membungkus dadah sebelum dijual kepada pelanggan. Banglo setingkat itu dipilih sebagai 'port' bagi mengaburi mata pihak berkuasa dan masyarakat setempat.

"Bagaimanapun taktik itu gagal apabila polis berjaya menghidu kegiatan haram keempat-empat suspek berusia 22 hingga 33 tahun itu. Kesemua mereka juga positif dadah," katanya di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu di sini hari ini.

Menurutnya, polis menjumpai dadah jenis syabu dengan berat kasar 69.76 gram dan pil kuda seberat 2.87 gram yang disimpan di dalam sebuah bilik dengan nilai keseluruhan RM5,150 ketika pemeriksaan dilakukan di banglo berkenaan.

"Polis turut menyita tiga motosikal dipercayai milik suspek selain plastik kosong dipercayai digunakan untuk mengisi dadah selain dua alat digital penimbang.

"Siasatan awal mendapati kesemua suspek memiliki rekod lampau berkaitan jenayah dan mereka bergerak bersendirian di sekitar Manir," katanya.

Abd Rahim berkata, kesemua suspek ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia