Bekas pelatih Pulapol bebas tuduhan rompakan

Ketiga-tiga tertuduh ketika pertama kali dibawa ke Mahkamah Kota Bharu pada pendakwaan terhadap mereka tahun lalu.
A
A

KOTA BHARU - Bekas pelatih Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuching, Sarawak dibebaskan Mahkamah Sesyen di sini hari ini daripada tuduhan melakukan rompakan menggunakan parang terhadap seorang lelaki pada Januari tahun lalu.

Hakim Ahmad Bazli Bahruddin membuat keputusan itu terhadap Mohd Kasmuri Abd Aziz, 23, selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Mengikut pertuduhan, Mohd Kasmuri dan rakannya Izulhelmie Ismail, 22, secara bersama-sama dengan seorang yang sudah meninggal dunia iaitu Izzuddin Ismail (abang Izulhelmie) didakwa melakukan rompakan berkumpulan terhadap Syed Abdullah Syeh Al Sagoff, 47, menggunakan parang dengan mengambil dua telefon bimbit bernilai lebih RM4,000.

Kesalahan didakwa dilakukan di kedai makan bersebelahan stesen minyak Machang pada jam 8 malam, 31 Januari 2018.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Abu Arsalnaa Zainal Abidin dan Mohamad Nuzul Azuar Zulkifli manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Firdaus Zainal Abidin.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan selepas enam minggu ‘lolos’ seorang pelatih konstabel di Pulapol Sarawak, Padawan ditahan kerana disyaki terbabit dalam kes samun bersenjata dan cubaan bunuh.

Suspek lelaki berusia 20-an itu ditahan pada jam 2.25 petang oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan dengan bantuan Pulapol Kuching.

Menurut sumber, suspek menjalani latihan rekrut di Pulapol pada pengambilan tahun lalu.

Di mahkamah sama pada 1 April lalu, Izulhelmie dihukum penjara tujuh tahun dan satu sebatan selepas mengaku salah atas kesalahan tersebut.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia