Polis serbu premis judi online

Premis yang diserbu.
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki berumur 23 tahun ditahan dalam satu serbuan selepas disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian dalam talian hasil serbuan di sebuah premis di Taman Kota Masai di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Norazam Shaari berkata, sepasukan pegawai dan anggota daripada Cawangan D7, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah Seri Alam telah menerima maklumat tentang premis yang disyaki menjalankan kegiatan perjudian dalam talian itu.

"Dalam serbuan itu, lelaki tempatan itu ditahan kerana disyaki sebagai individu yang ditugaskan untuk menerima wang tunai daripada pelanggan.

"Suspek kemudiannya akan menambah amaun perjudian ke dalam akaun telefon bimbit milik pelanggan," katanya.

Norazam berkata, sebuah telefon bimbit yang memiliki aplikasi perjudian dalam talian dan sejumlah wang tunai turut dirampas dalam serbuan berkenaan.

"Suspek ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya.

Beliau berkata, pihaknya sedia bertindak sekiranya menerima maklumat seumpama itu berhubung aktiviti perjudian dalam talian tanpa kompromi.