Suri rumah terperosok bawah lori

No Image Caption
A
A
A

MERSING - Seorang wanita maut selepas motosikal ditunggang dilanggar sebelum digilis sebuah lori dalam kejadian kemalangan di Susur Jalan Dato’ Mohd Ali, Endau berhampiran lampu isyarat KM1 Jalan Mersing - Endau petang tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Mersing, Asisten Superintendan Mohd Nor Mohd Isa berkata, kejadian kira-kira jam 1 petang itu menyebabkan mangsa, Meriam Md Yunus, 51, seorang suri rumah dari Perkampungan Nelayan, Penyabong, Endau maut di lokasi kejadian.

"Hasil siasatan awal mendapati mangsa menaiki motosikal Honda EX-5 daripada arah Pekan Endau menuju ke arah Rompin Pahang.

"Semasa melalui susur Jalan Dato’ Mohd Ali, Endau, pemandu lori berusia 46 tahun tidak menyedari terdapat sebuah kenderaan lain iaitu motosikal mangsa di tepi susur jalan tersebut lalu melanggar belakang motosikal mangsa.

"Akibat perlanggaran tersebut, penunggang motosikal telah terperosok di bawah lori serta digilis.

"Penunggang motosikal telah meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala," katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Tambahnya, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Mersing bagi tujuan bedah siasat dan kes diklasifikasi di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan: