Geng pecah rumah pengantin tumpas

Lapan individu Geng Surya yang direman Selasa lalu bagi membantu siasatan.
Lapan individu Geng Surya yang direman Selasa lalu bagi membantu siasatan.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Polis menumpaskan sindiket pecah rumah yang dikenali sebagai 'Geng Surya' selepas tertangkapnya lapan individu dalam Op Bridal Isnin lalu.

Timbalan Ketua Siasatan Jenayah Melaka, Superintendan Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, suspek berusia antara 24 hingga 54 tahun itu aktif melakukan kegiatan samun barang kemas di majlis perkahwinan masyarakat India membabitkan nilai kerugian hampir RM1 juta sejak enam bulan lalu.

Menurutnya, penangkapan kesemua suspek berjaya menyelesaikan 30 kes pecah rumah pengantin termasuk 26 kes di sekitar negeri ini manakala empat di Negeri Sembilan.

"Dalang utamanya merupakan seorang pemandu lori berusia 38 tahun yang dikenali sebagai Surya telah ditahan pada jam 4.30 di Ayer Keroh Isnin lalu. Hasil soal siasat akhirnya siasat membawa kepada tujuh penangkapan bersiri ahli geng lain termasuk seorang tukang emas berusia 54 tahun.

"Tukang emas itu juga dipercayai pakar menjalankan kerja-kerja melebur dan membentuk rekaan baru bagi tujuan gadai atau jual semula," katanya pada sidang akhbar Op Bridal di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, Bukit Beruang semalam.

Yusharifuddin berkata, polis turut merampas tiga patung emas, pelbagai barang kemas, telefon bimbit, lima buah televisyen, komputer riba, surat pajak gadai, jam tangan dan peralatan pecah rumah serta lebur emas.

Katanya, kerugian hasil kegiatan samun dilakukan kumpulan berkenaan dianggarkan bernilai RM900,000.

"Kesemua ahli Geng Surya kini direman bagi membantu siasatan dan kita tidak menolak kemungkinan terdapat lagi individu lain yang terlibat dalam kegiatan jenayah itu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda.