Guan Eng dibenar rayu kes saman Perkasa

Ibrahim (kiri) bersama pasukan peguam Perkasa di Mahkamah Persekutuan hari ini.
Ibrahim (kiri) bersama pasukan peguam Perkasa di Mahkamah Persekutuan hari ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan di sini hari ini memberikan kebenaran merayu yang dipohon Menteri Kewangan, Lim Guan Eng untuk merujuk isu undang-undang dalam kes saman yang dikemukakan terhadap tiga pihak iaitu Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa); Presidennya Datuk Ibrahim Ali dan bekas Ketua Penerangan Perkasa Ruslan Kassim.

Saman dikemukan Guan Eng pada Oktober 2012 susulan penerbitan artikel di laman web pribumiperkasa.com yang mengaitkan Guan Eng seorang ejen Singapura.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Tan Sri David Wong Dak Wah sebulat suara memberikan kebenaran merayu terhadap Guan Eng untuk merujuk satu isu undang-undang iaitu berkaitan isu 'locus standi' berhubung saman yang dikemukakan itu.

Korum itu turut dianggotai Datuk Mohd. Zawawi Salleh dan Datuk Nalini Pathmanathan.

Bercakap kepada pemberita sejurus selesai kes, peguam Americk Sidhu yang mewakili Guan Eng memaklumkan, mahkamah membenarkan satu daripada empat soalan undang-undang untuk dibahaskan berhubung kes saman itu pada satu tarikh yang akan ditentukan kelak.

Sehubungan itu pihaknya akan memfailkan notis rayuan dalam tempoh dua minggu.

Sementara itu, peguam Adnan Seman yang mewakili Perkasa dan Ibrahim Ali memaklumkan, isu yang dibenarkan untuk dibahaskan adalah berhubung 'locus standi' (hak yang sah di sisi undang-undang) untuk Guan Eng mengemukakan tindakan saman atas kapasiti beliau sebagai pegawai awam.

"Mahkamah bagaimanapun menolak tiga lagi isu yang dipohon Guan Eng berhubung ganti rugi," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Pada 21 Disember 2016, Mahkamah Rayuan memutuskan Guan Eng yang ketika itu merupakan Ketua Menteri Pulau Pinang, tidak boleh menyaman media kerana memfitnah atas kedudukan rasmi beliau.

Korum Mahkamah Rayuan ketika itu menerima prinsip yang diputuskan dalam satu kes undang-undang Britain, Derbyshire County Council lwn The Times Newspapers Ltd & Others (1993), yang menyebut bahawa pihak berkuasa tempatan tidak boleh mengambil tindakan berkaitan memfitnah atas kedudukan rasminya.

Pada 11 Mei 2012, Guan Eng memfailkan saman fitnah terhadap tujuh defendan dengan mendakwa bahawa Ruslan menyiarkan kenyataan di laman sesawang Perkasa pada 1 Oktober 2011, yang meminta ahli perniagaan Datuk Mohamad Azman Yahya memberi penjelasan tentang pertemuannya dengan Datuk Seri Kalimullah Hassan dan seorang pemimpin kanan PAP di Singapura pada 12 Ogos 2011.

Tujuh defendan tersebut adalah Ketua Penerangan Perkasa, Ruslan Kassim; Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali dan Perkasa, bekas Pengarang Kumpulan New Straits Times, Datuk Syed Nazri Syed Harun dan The New Straits Times Press (M) Sdn. Bhd. serta Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu (M) Berhad Datuk Abdul Aziz Ishak dan Utusan Melayu (M) Berhad.

Ketujuh-tujuh mereka kemudiannya mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan dan pada 2016, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan responden untuk mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi yang menyebabkan Guan Eng memfailkan permohonan mendapatkan kebenaran untuk merayu di Mahkamah Persekutuan tahun berikutnya.

Empat pihak lagi daripada Utusan Melayu dan NSTP bagaimanapun tidak mahu meneruskan tindakan mahkamah bersetuju membayar ganti rugi berjumlah RM400,000 kepada Guan Eng yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi.