Suntikan untuk elak kehamilan tidak sihat

Dzulkefly Ahmad
Dzulkefly Ahmad
A
A
A

IPOH - Suntikan di bawah program perancang keluarga yang dikenakan ke atas wanita orang asli di negara ini bertujuan melindungi mereka daripada kehamilan yang membahayakan kesihatan dan nyawa.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, inisiatif di bawah kementeriannya itu dilakukan atas rasa tanggungjawab untuk mencegah wanita-wanita yang berdepan masalah seperti anemia atau kurang darah merah daripada hamil.

Menurutnya, adalah sangat penting untuk mengelak kehamilan dalam tempoh tertentu dan satu daripadanya melalui suntikan perancang keluarga untuk melindungi mereka daripada kehamilan yang tidak sesuai.

"Ini satu langkah berjaga-jaga yang penting kita lakukan demi menyelamatkan kehamilan.

"Sekiranya kiraan darah kurang daripada 11, kita akan merujuknya kepada ubat-ubatan kerana ia tidak selamat untuk mereka hamil," katanya ketika ditemui pada program Ikon Gigi Orang Asli peringkat Kebangsaan di Kampung Orang Asli Menderang 1, di sini hari ini.

Menurutnya, program perancang keluarga terbabit hanya dilakukan selama dua tahun dan kemudiannya dihentikan bagi membolehkan kehamilan semula.

"Ia dilakukan untuk kepentingan keselamatan wanita itu sendiri," katanya.

Semalam, sebuah portal berita melaporkan suntikan perancang keluarga yang didakwa diberikan oleh kakitangan Kementerian Kesihatan kepada wanita orang asli didakwa memberi kesan sampingan teruk.

Artikel Berkaitan:

Seorang wanita orang asli dari Kampung Lambok, RPS Kuala Betis, Gua Musang, Kelantan mendakwa pasangan orang asli baharu berkahwin menjadi sasaran dan beliau mendakwa dirinya ditekan supaya mengambil suntikan perancang keluarga selepas kelahiran anak keempatnya pada 2014.

Perkara itu turut menarik perhatian Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy yang memaklumkan kerajaan akan menubuhkan panel khas untuk menyiasat laporan berkenaan.