Proses cerai ‘fast track’ mudahkan pasangan

Jakess menegaskan proses perceraian pasangan secara 'fast track' bukan faktor utama menggalakkan orang Islam di Selangor bercerai sehingga menyumbang kepada kadar kes penceraian yang tinggi di negeri ini.
Jakess menegaskan proses perceraian pasangan secara 'fast track' bukan faktor utama menggalakkan orang Islam di Selangor bercerai sehingga menyumbang kepada kadar kes penceraian yang tinggi di negeri ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Proses perceraian pasangan secara 'fast track' di Mahkamah Syariah Selangor diakui menjimatkan masa suami isteri yang terpaksa mengambil keputusan bercerai dengan pasangan masing-masing.

Setiausaha Persatuan Seribu Impian, Norfezah Ahmad berkata, kewujudan kaunter khas itu juga memudahkan pasangan yang ingin bercerai kerana tidak perlu menunggu lama untuk proses perceraian.

Menurutnya, sebelum proses itu diperkenalkan pasangan terpaksa melalui proses yang lama dan adakalanya mengambil masa bertahun meskipun kedua-dua suami isteri bersetuju untuk bercerai secara baik dan harmoni.

“Saya tak rasa kewujudan kaunter ‘fast track’ ni menjadi punca peningkatan kes cerai di negeri ini malah ia sangat bagus, menjimatkan masa dan tak perlu tunggu lama untuk satu-satu kes itu.

"Proses pun dipercepatkan sedangkan sebelum ini kena ambil masa temu janji bicara walaupun kedua-dua pasangan bagi kerjasama,” katanya.

Dalam pada itu, jurucakap Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) berkata, kaunter ‘fast track’ itu bukanlah bermaksud wujudnya satu kaunter khas di Mahkamah Syariah.

Menurutnya, semua pasangan yang ingin bercerai perlu rujuk ke kaunter yang sama namun kes akan diselesaikan segera bagi mereka yang memenuhi syarat proses kerja kes cerai secara 'fast track'.

“Antara syaratnya pasangan perlu mempunyai dokumen lengkap; kedua-duanya hadir di mahkamah dan wujud persetujuan antara suami isteri untuk bercerai secara baik dan harmoni.

Artikel Berkaitan:

“Syarat lain, isteri mesti dalam keadaan suci dan tidak berlaku persetubuhan dalam tempoh suci tersebut dan mahkamah berpuas hati telah berlaku pecah belah (shiqaq) dalam perkahwinan yang tidak dapat dipulihkan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Beliau berkata, jika pasangan sudah bersetuju dan kedua-duanya hadir di mahkamah, permohonan akan dicop dan dikategorikan sebagai perceraian ‘fast track’.

“Sebelum ini proses perceraian ambil masa hingga tiga bulan walaupun suami isteri setuju bercerai secara baik, dengan adanya proses ini, tempoh kes diselesaikan lebih cepat,” katanya.

Terdahulu Jakess menegaskan proses perceraian pasangan secara 'fast track' bukan faktor utama yang menggalakkan orang Islam di Selangor bercerai sehingga menyumbang kepada kadar kes penceraian yang tinggi di negeri ini.

Sebaliknya, kadar perceraian yang tinggi di Selangor disebabkan jumlah penduduk yang ramai berbanding negeri lain.

Mengulas isu kaunter ‘fast track’ perceraian di Mahkamah Syariah Selangor yang dibangkitkan dalam Parlimen, Jakess berkata. kewujudan proses kerja kes cerai yang diperkenalkan pada tahun 2015 itu bukan diwujudkan semata-mata menyelesaikan kes cerai dengan sewenang-wenangnya.

Menurutnya, pemohon perlu melalui langkah yang sewajarnya dalam usaha membendung kes perceraian di Selangor.

ARTIKEL BERKAITAN: Kaunter 'fast track' bukan galak bercerai