Penganut fahaman lain bebas berforum, selagi tak sebar ajaran: PM

Dr Mahathir - Foto Bernama
Dr Mahathir - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sabotaj yang dilakukan pada Seminar The Amman Message (Mesej Amman) yang dibatalkan susulan ugutan bom palsu dianggap sebagai tidak wajar, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berpendirian, adalah menjadi hak mana-mana individu untuk mengamalkan fahaman tertentu sama ada Syiah atau Budha asalkan, mereka tidak menyebarkan ajarannya kepada Muslim dan juga ahli sunnah wal jamaah di Malaysia.

“Tidak wajar cara mereka buat sabotaj kononnya ada bom dalam majlis tersebut (Amman Message) tersebut.

“Jika mereka itu Buddha atau Syiah, itu adalah hak mereka, selagi mereka tidak menyebarkan ajaran tersebut di kalangan Muslim dan ahli sunnah wal jamaah di Malaysia,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Sabtu lalu, Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS) menganjurkan seminar The Amman Message, namun dibatalkan susulan ugutan bom yang diterima daripada seorang pengguna Facebook.

Polis Diraja Malaysia (PDRM), memaklumkan keputusan membatalkan seminar itu dibuat sendiri oleh penganjur dan bukannya atas nasihat atau bantahan polis.

Pembatalan itu dibuat susulan komen yang diterima oleh penganjur seminar terbabit di laman Facebook Gerakan Banteras Syiah bertarikh 6 Julai lalu daripada pemilik akaun Facebook, Amirol Md Zain, iaitu “kita bomb tempat nie”.

Polis sedang menjalankan siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 507 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof yang speaker dalam seminar berkenaan berkata, acara itu dibatalkan atas sebab keselamatan

“Ini adalah nasihat daripada keselamatan dan kita menghormati keputusan keselamatan sebab saya dimaklumkan ada dalam salah satu Facebook dia menyebut kata dia akan bom tempat ini.

“Saya tak fikir pihak keselamatan nak ambil kesempatan tapi lebih kepada langkah berjaga-jaga dengan menasihatkan penganjur untuk tidak teruskan, itu saja yang saya dapat tahu kerana saya dijemput sahaja sebagai speaker,” katanya.

Difahamkan, seminar itu bagi mempromosikan Mesej Amman iaitu satu deklarasi yang dimeterai pada 2004 untuk menggalakkan pemahaman antara pemikiran Islam, termasuk persefahaman antara Sunni dan Syiah.