Tiada parti dapat kelebihan dalam isu mengundi: Syed Saddiq

Wacana Sinar Harian Ke-116 Mengundi Umur 18 Tahun: Siapa Yang Untung? hari ini.
A
A

SHAH ALAM - Tidak ada mana-mana parti politik mendapat kelebihan apabila pindaan Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 untuk menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun dilakukan kerana orang muda tidak taksub dengan parti politik.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, isu mengundi tidak boleh dilihat daripada soal kematangan kerana impak kepada usaha ini menjadikan kemahuan anak muda tidak akan diremehkan oleh mana-mana parti politik baik kerajaan dan pembangkang mahupun pihak korporat.

"Anak muda ini kalau pilihan raya sebelum ini mereka mengundi sesebuah parti tetapi akan datang belum tentu mereka akan mengundi parti sama.

"Ini merupakan satu persaingan sihat dalam landskap politik negara. Sudah pasti isu anak muda akan menjadi perkara utama untuk dikendalikan semua pihak," katanya pada Wacana Sinar Harian Ke-116 Mengundi Umur 18 Tahun: Siapa Yang Untung? hari ini.

Syed Saddiq
Syed Saddiq

Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 dibentang semula pada persidangan Dewan Rakyat hari ini, sehari selepas ia ditarik balik.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat, RUU bagi menurunkan had umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun, pendaftaran automatik dan kelayakan calon pilihan raya kepada 18 tahun itu akan dibentang bagi bacaan kali pertama oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, selepas selesai sesi soal jawab lisan.

Mengulas lanjut beliau berkata, parti politik juga perlu menampilkan calon-calon baharu bagi memenangi anak muda.

"Dasar-dasar kerajaan selepas ini juga perlu mengambil berat isu-isu anak muda. Ini antara impak apabila anak muda turut serta dalam pemilihan pentadbiran negara," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia