100 peratus lampu jalan LED tahun depan

Jagdeep (tengah) melihat lampu LED yang akan dipasang dalam fasa pertama oleh MBPP. - Foto Sinar Harian
Jagdeep (tengah) melihat lampu LED yang akan dipasang dalam fasa pertama oleh MBPP. - Foto Sinar Harian
A
A
A

GEORGETOWN - Pulau Pinang akan menjadi negeri pertama menggunakan 100 peratus lampu jenis diod pemancar cahaya (LED) pada lampu jalan menjelang tahun depan.

Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, penukaran lampu itu akan menelan belanja RM75 juta dalam mencapai agenda negeri hijau iaitu mengurangkan karbon melalui penggunaan tenaga elektrik.

Menurutnya, kerajaan negeri akan membelanjakan RM40 juta untuk menukar 17,542 lampu jalan sedia ada di bahagian pulau kepada lampu jenis LED pada 2020.

"Buat masa ini, Pulau Pinang mempunyai 105,813 lampu jalan iaitu 34,104 di pulau dan 71,709 buah di Seberang Perai. Dari jumlah itu, 31,596 lampu diselenggarakan oleh kedua-dua pihak berkuasa tempatan manakala 74,217 lampu oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).

"TNB juga dalam proses untuk menukar kesemua lampu jalan di bawah selenggaraannya kepada jenis LED secara berperingkat," katanya.

Terdahulu, Jagdeep hadir menyaksikan penukaran lampu jalan ke lampu jenis LED fasa pertama oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang di sini.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga berusaha untuk menukar kemudahan awam sedia ada kepada tenaga solar selaras dengan agenda negeri hijau iaitu mengurangkan penggunaan karbon.

Artikel Berkaitan: