CBP agih zakat RM1.2 juta tahun lalu

Kamari Zaman (tengah) mengagihkan beg sekolah dan keperluan sekolah kepada pelajar dalam Program Back To School 2019 tadi.
Kamari Zaman (tengah) mengagihkan beg sekolah dan keperluan sekolah kepada pelajar dalam Program Back To School 2019 tadi.
A
A
A

SEBERANG JAYA - Co-Opbank Pertama (CBP) mengagihkan RM1.2 juta zakat di seluruh negara bagi tahun lalu menjadikan ia jumlah terbesar sehingga kini.

Pengerusinya, Kamari Zaman Juhari berkata, CBP mencatatkan trend peningkatan dalam pengagihan wang itu apabila hanya RM688,608 diagihkan di seluruh negara pada 2013.

“Pada tahun 2016, wang pengagihan meningkat sebanyak 46.3 peratus iaitu dari RM561,900 (2015) ke RM970,400.

"Pulau Pinang menjadi negeri penerima zakat tertinggi iaitu RM652,000 iaitu 55.3 peratus bagi 2017. Ini kerana, CBP ditubuhkan di Pulau Pinang dan pengagihan zakat ini juga mengikut trend perniagaan di sini,” katanya.

Menurutnya, CBP yang mempunyai 24 cawangan termasuk empat di Pulau Pinang dan jumlah itu menjadikan negeri ini paling banyak cawangan CBP.

"Terbaru, kita membuka dua cawangan baru iaitu di Kuala Selangor dan Batu Pahat. Ia menjadikan dua kawasan ini masing-masing mempunyai dua cawangan. Kita sasarkan empat buah cawangan lagi tahun depan iaitu di Tanah Merah, Dungun, Temerloh dan Port Dickson.

“CBP ditubuhkan di bawah Akta Koperasi 1993 dan didaftarkan pada 7 Jun 1950. Kita diiktiraf sebagai bank koperasi pada 2014," katanya selepas menyerahkan bantuan keperluan sekolah melalui Program Back To School 2019 anjuran CBP di Pasar Raya Mydin di sini, hari ini.

Sementara itu, Kamari Zaman berkata, CBP yang mempunyai modal syer anggota sebanyak RM800 juta menyasarkan RM1 bilion bagi modal syer ahli bank tersebut menjelang 2020.

Artikel Berkaitan:

"Sehingga sekarang, kita mempunyai 84,000 ahli dan 672 buah koperasi. Dalam jangka masa dua tahun ini kita menjangkakan boleh mencapai sasaran iaitu RM1 bilion.

“Banyak perkara yang perlu dilakukan antaranya menarik lebih ramai anggota untuk menyertai CBP terutamanya golongan bawah 40 tahun,” katanya.