Leftenan Komander Maritim dituduh terima rasuah

Mohd Noor Afendi ketika keluar dari kamar Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini.
Mohd Noor Afendi ketika keluar dari kamar Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini atas 10 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM48,700 daripada tekong nelayan asing, dua tahun lalu.

Bagaimanapun, Leftenan Komander Mohd Noor Afendi Zauklfli, 38, yang bertugas di Kapal Maritim (KM) Bagahak, Pangkalan Maritim Kemaman mengaku tidak bersalah kesemua pertuduhan kes yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Farah Yasmin Salleh.

Berdasarkan pertuduhan pertama hingga 10, Mohd Noor Afendi didakwa menerima suapan daripada tekong, Asary melalui akaun Malayan Banking Berhad sebagai dorongan untuk tidak menahan dan mengambil tindakan terhadap bot-bot nelayan asing yang menceroboh perairan Terengganu.

Dia didakwa menerima suapan berjumlah RM14,650 pada 22 April 2017 dan RM34,050 pada 29 Mei 2017 di Dungun dan Kuala Terengganu

Dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Hakim Jamaludin Mat kemudian membenarkan tertuduh yang diwakili peguam Nur Ain Mohd Rani itu diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah yang menetapkan kes disebut semula 8 Ogos ini turut mengarahkan tertuduh melapor diri di Pejabat SPRM di Chukai, Kemaman setiap 1 hari bulan sehingga selesai perbicaraan.

Artikel Berkaitan: