Sindiket judi online di sebalik kondo mewah

Antara barangan yang dirampas hasil serbuan di sebuah unit kondominium mewah petang semalam. Gambar kecil: Ruslan Khalid
Antara barangan yang dirampas hasil serbuan di sebuah unit kondominium mewah petang semalam. Gambar kecil: Ruslan Khalid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Beroperasi dalam kondominum mewah kononnya bagi mengelakkan kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa.

Namun aktiviti sindiket perjudian dalam talian didalangi warga tempatan di sebuah kondominium di sini tumpas selepas polis menyerbu unit kediaman mewah itu di Kuchai di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ruslan Khalid berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota polis dari Balai Polis Sri Petaling melakukan risikan di sebuah kondominium di Taman Kuchai itu.

Menurutnya, hasil serbuan dengan bantuan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) dan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Brickfields, enam warga tempatan termasuk seorang wanita berusia lingkungan 20-an ditahan.

“Kumpulan ini disyaki terlibat dengan kegiatan perjudian dalam talian.

“Polis merampas pelbagai jenis barangan termasuk dua set komputer, tiga komputer riba, lima telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah permainan mini roulette dan sebuah sangkar berisi bola pelbagai nombor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kesemua tangkapan dibawa ke IPD Brickfields untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 4 (1)(c) Akta Pertaruhan 1953.

Dalam pada itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes terbabit diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Brickfields di talian 03-22979222.

Pihak polis juga mengharapkan orang ramai dapat menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan perjudian.

Artikel Berkaitan: