Amaran kepada parasit dalam PH!

Khairuddin Abu Hassan
Khairuddin Abu Hassan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Parasit yang wujud dalam PH harus dibersihkan segera sebelum ia menjadi barah dan menggugat kestabilan parti itu.

Ahli Jawatankuasa Biro Komunikasi dan Mobilisasi PH, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan melaungkan ikrar akan memerangi parasit itu secara habis-habisan terutamanya kepada mereka yang berniat menjatuhkan kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tegas beliau, mana-mana pihak yang enggan mengiktiraf kerja kuat Dr Mahathir diingatkan supaya tidak membuat sebarang langkah biadab bertujuan untuk menjatuhkan perdana menteri.

“Sekali lagi dalam apa jua keadaan, secara peribadi saya sudah bersiap sedia untuk menghadapi segala kemungkinan bagi mematahkan perancangan jahat mereka untuk menjatuhkan kepimpinan Dr Mahathir.

"Selepas ini seandainya saya 'terhidu' niat serta gerakan jahat puak 'parasit' ini, pada waktu itu, saya akan mendedahkan sesuatu yang kemungkinannya bakal menggemparkan dunia sekali lagi! Saya akan perangi mereka habis-habisan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah Khairuddin, semua pihak perlu melihat kerja keras Dr Mahathir kini adalah untuk membangunkan semula negara yang dirosakkan kerajaan terdahulu dan tidak seharusnya tanggungjawab itu diletakkan di atas bahu beliau sahaja.

"Jangan asyik hendak salahkan Dr Mahathir seorang diri sahaja. Tolong jangan kurang ajar. Dr Mahathir ke luar negara bukan bercuti tetapi lawatan rasmi untuk mendapatkan keyakinan dunia luar bagi membangunkan semula negara.

"Imej Malaysia amat teruk di luar negara serta di seluruh dunia kerana kerakusan kepimpinan kerajaan dahulu yang merompak khazanah dan duit rakyat sehingga kita dikenali sebagai pencetus skandal kewangan yang terbesar di dunia.

Artikel Berkaitan:

"Saya dapat menghidu tindakan tidak bertanggungjawab puak-puak yang kecewa kerana tidak mendapat jawatan dan sedang berusaha untuk menjatuhkan Dr Mahathir," ujarnya.

Katanya lagi, golongan berkenaan juga perlu memahami segala keputusan dibuat Ahli Parlimen Langkawi itu bukanlah dibuat sendiri sebaliknya melalui sistem musyawarah untuk membuat keputusan secara kolektif.

"Janganlah buat andaian yang tidak berasas dan melulu. Sekarang bukan masa untuk berbalah dan merebut jawatan.

“Walaupun tanpa jawatan, pelbagai tanggungjawab boleh dipikul secara terbaik mungkin kerana semua kita mempunyai peranan yang tersendiri," katanya.