Kaunter 'fast track' bukan galak bercerai

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Proses perceraian pasangan secara 'fast track' bukan faktor utama yang menggalakkan orang Islam di Selangor bercerai sehingga menyumbang kepada kadar kes penceraian yang tinggi di negeri ini.

Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) dalam satu kenyataan berkata, sebaliknya, kadar perceraian yang tinggi di Selangor disebabkan jumlah penduduk yang ramai berbanding negeri lain.

Mengulas isu kaunter ‘fast track’ perceraian di Mahkamah Syariah Selangor yang dibangkitkan dalam Parlimen semalam, Jakess memberitahu kewujudan proses kerja kes cerai yang diperkenalkan pada tahun 2015 itu bukan diwujudkan semata-mata menyelesaikan kes cerai dengan sewenang-wenangnya.

Katanya, pemohon perlu melalui langkah yang sewajarnya dalam usaha membendung kes perceraian di Selangor.

“Sebelum pasangan suami isteri ke mahkamah untuk fail kes cerai, mereka akan berjumpa dengan Pegawai Runding Cara Keluarga di Unit Undang-Undang Keluarga, Pejabat Agama Islam Daerah bagi cari jalan penyelesaian terhadap konflik rumah tangga dihadapi.

“Pemfailan kes di Mahkamah Syariah hanya dibuat setelah usaha melalui runding cara ini gagal untuk menyelamatkan perkahwinan mereka,” katanya.

Menurutnya, kewujudan proses kerja kes cerai secara 'fast track' adalah bagi menyelesaikan rungutan dan aduan pelanggan yang mendakwa mahkamah mengambil masa terlalu lama untuk menyelesaikan kes cerai di Negeri Selangor.

Katanya, proses kerja itu adalah prosedur operasi standard (SOP) dibangunkan bagi mengurangkan kerenah birokrasi pengendalian kes cerai difailkan atas persetujuan bersama suami dan isteri yang sebelum ini mengambil masa sehingga 90 hari.

Artikel Berkaitan:

“Proses kerja kes cerai secara 'fast track' perlu memenuhi beberapa syarat termasuk dokumen lengkap, suami isteri hadir di mahkamah dan wujud persetujuan antara suami isteri untuk bercerai secara baik dan harmoni.

“Syarat lain, isteri mesti dalam keadaan suci dan tidak berlaku persetubuhan dalam tempoh suci tersebut dan mahkamah berpuas hati telah berlaku pecah belah (shiqaq) dalam perkahwinan yang tidak dapat dipulihkan,” katanya.

Melalui proses tersebut, kes pasangan suami isteri yang bersetuju bercerai akan diselesaikan dalam tempoh enam jam daripada masa pemfailan kes.

Pasangan kemudian akan menerima Perintah bertulis bermeterai mahkamah dalam tempoh masa tersebut untuk dikemukakan kepada Jabatan Agama Islam Selangor bagi tujuan pengeluaran sijil cerai.

“Kesan inisiatif ini dilihat menggalakkan suami menceraikan isteri mereka secara baik dan secara tidak langsung mengurangkan masalah wanita yang mendakwa diri mereka telah ‘digantung tak bertali'.

“Proses ini jimatkan masa, kos pihak terlibat dan memberi peluang kepada mereka untuk memulakan hidup baharu secara damai tanpa perlu bermusuhan antara satu sama lain, sebagaimana yang biasa berlaku kesan daripada perbicaraan kes yang panjang di mahkamah,” katanya.

Terdahulu media melaporkan proses ‘penceraian ekspres’ yang hanya mengambil masa selama enam jam didakwa antara punca Selangor mencatat kes perceraian tertinggi di negara ini.

Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Jalaludin Alias dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat berkata, beliau melihat kewujudan kaunter perceraian segera di Selangor sebagai punca kadar cerai yang tinggi di negeri itu.