Sabah terbuka berbincang dengan penggiat O&G

Mohd Shafie Apdal
Mohd Shafie Apdal
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan peserta industri minyak dan gas (O&G) bagi memastikan mereka dapat memajukan sektor itu ke tahap kejayaan lebih tinggi selain mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata kerajaan negeri mahu perkongsian yang kukuh serta kerjasama strategik bagi memacu industri yang menguntungkan ini ke arah kejayaan.

“Bagi mendapat manfaat yang meluas dalam sektor ini, kita harus menangani cabaran yang sinonim dengan Sabah,” katanya pada pelancaran Persidangan dan Pameran Minyak dan Gas Sabah (SOGCE), di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan negeri meminda Ordinan Perlombongan 1960 kepada Enakmen Perlombongan (Pindaan) 2018 pada Disember tahun lepas supaya pendapatan sumber asli seperti minyak dan gas di Sabah dapat diuruskan dengan lebih baik.

Menurut Mohd Shafie pindaan tersebut turut membolehkan Sabah mengutip cukai jualan sumber asli daripada perairan, selain hasil produk petroleum.

Jelasnya, langkah itu akan memajukan lagi sektor O&G di Sabah.

Ketua Menteri itu berkata berdasarkan Jurnal O&G, Malaysia mempunyai rizab sebanyak 3.6 bilion tong sehingga Januari 2017, iaitu rizab keempat tertinggi di Asia Pasifik.

Beliau berkata dengan deposit minyak dan gas yang utama, Sabah telah menjadi pemain utama industri O&G di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

“Industri ini merupakan pemacu kukuh ekonomi nasional dan kebanyakan hasil di Sabah ini datang daripada minyak dan gas,” katanya.

Beliau berkata kerajaan Persekutuan juga peka dengan keperluan industri O&G di Sabah untuk mempelbagaikan rangkaian produk dan memanfaatkan lokasi strategik di negeri itu bagi menarik lebih banyak syarikat minyak dan gas, pelabur dan pedagang.

Lokasi Sabah di Laut China Selatan dan peranan utamanya dalam industri O&G domestik ialah faktor yang memastikan industri ini terus menjadi penyumbang signifikan kepada pertumbuhan ekonomi negeri, kata Mohd Shafie. - Bernama