Suri rumah mangsa 'Love Scam' rugi RM5,000

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

MELAKA - Seorang suri rumah kerugian RM5,000 selepas ditipu seorang kenalan di media sosial yang mendakwa menjalankan perniagaan eksport dan import dengan Kerajaan Malaysia.

Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Ayer Keroh, Alea @ Alice Lee berkata dalam kejadian Mei lepas, mangsa yang berusia 51 tahun berkenalan dengan seorang lelaki yang mendakwa sebagai warga China melalui laman sosial Facebook.

Katanya mangsa memberitahu, lelaki itu mendakwa dikenakan caj RM10,000 oleh Kerajaan Malaysia sebagai wang pendahuluan untuk satu urusan perniagaan tetapi kononnya diberi pengurangan sebanyak RM5,000.

"Mangsa yang terpedaya dengan tipu helah itu kemudiannya bersetuju untuk memindahkan sejumlah RM5,000 ke dalam akaun bank yang diberikan oleh lelaki berkenaan atas nama Rosalia P Sarmiento, namun beberapa hari kemudian seorang individu memperkenalkan dirinya sebagai “Chen” mendakwa merupakan peguam kepada lelaki berkenaan dan meminta mangsa membuat pembayaran sebanyak RM108,900 kononnya bagi tujuan cukai pendapatan.

"Selepas tidak lagi mempunyai wang untuk membantu 'rakan' Facebooknya itu, mangsa hadir ke pejabat Japerun Ayer Keroh untuk mengadu seterusnya membuat laporan di Balai Polis Batu Berendam, pada Selasa lalu," katanya pada sidang media di pejabat Japerun Ayer Keroh di sini hari ini.

Alea berkata penipuan itu disyaki didalangi warga Afrika dan hanya menggunakan nama lain bagi mengaburi mangsa selain tidak menolak kemungkinan mangsa telah dipukau.

Beliau difahamkan mangsa mempunyai krisis rumah tangga dan dipercayai menjalin hubungan cinta dengan individu berkenaan yang mana sehingga kini masih tidak percaya dirinya ditipu malah menyalahkan kerajaan berikutan mengenakan caj terbabit.

"Meskipun mangsa pernah berhubung melalui panggilan video dengan individu terbabit yang dikatakan berusia 40 tahun, namun dia melakukan panggilan berkenaan di lokasi yang sukar dikenal pasti," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata Japerun Ayer Keroh turut merancang untuk bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengadakan taklimat berhubung sindiket penipuan 'Love Scam' yang dilaporkan cenderung memilih golongan wanita yang mempunyai krisis rumah tangga dan ibu tunggal berusia pertengahan bagi mengelakkan perkara tersebut daripada terus berlaku.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan tersebut dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda. - Bernama