Usop Mentor tak kecil hati dikritik gigi jonggang

Penyanyi, Usop Mentor
Penyanyi, Usop Mentor
A
A
A

ANDAI disebut nama Muhammad Saiful Naim Muhd Noor, mungkin ramai yang kurang mengenali siapakah pemilik nama tersebut. Namun kalau disebut Usop Mentor, pasti masih ramai yang ingat.

Berasal dari Kulim, Kedah, anak didik penyanyi Hazama ini merupakan penyanyi yang bakatnya dicungkil dari program Mentor Milenia 2017.

Pernah muncul dengan single Matahari, Nama Terindah dan Aku Yang Bersalah, Usop kini kembali dengan lagu keempatnya berjudul, Selamanya.

Menurut Usop, lagu hasil ciptaan Ziin, lirik Bulan Penuh ini mengisahkan tentang seorang lelaki yang masih setia dalam percintaan walaupun harapannya tidak kesampaian.

Untuk single terbaharu ini, penyanyi berusia 22 tahun itu berharap dapat menembusi platform Anugerah Juara Lagu.

“Selain vokal, kekuatan Selamanya ini terletak pada lirik dan lagunya, kedua-duanya memainkan peranan dalam menghasilkan kualiti yang saya percaya mampu mengangkat ke anugerah berprestij seperti di pentas AJL.

“Insya-ALLAH, besar harapan saya supaya lagu ini terpilih ke platform yang akan dinilai sepenuhnya oleh juri-juri profesional,” ujarnya yakin.

Seperti sebelum ini, lagu Aku Yang Bersalah juga masih mengekalkan konsep Pop Rock kerana genre tersebut begitu sinonim dengan gaya nyanyian Usop.

Artikel Berkaitan:

Lagu yang telah dilancarkan pada awal Julai itu turut mempunyai muzik video terbitan Voxscape Studio dan mendapat sentuhan pengarah Elfie Nazarie. Video muziknya menampilkan Usop bersama pelakon Shaa Zulaika dan Iman Zulkarnain.

Jelas Usop, video muzik ini sebenarnya merupakan sambungan daripada video muzik Aku Yang Bersalah, di mana Shaa telah berkahwin tetapi masih tidak bahagia kerana tetap menunggu kekasihnya. Namun kekasih tidak dapat berbuat apa-apa dan hanya mampu melihat dari jauh sahaja.

Single terbaharu Usop, Selamanya.
Single terbaharu Usop, Selamanya.

Berkongsi mengenai kritikan membina, jika ditanya pada sesiapa pastinya mahukan jawapan yang sedap didengar. Ironinya, Usop berkata, kritikan berhubung paras rupa lebih menaikkan semangatnya untuk terus berkarya di lapangan seni muzik industri.

“Fasal kritikan ini saya tak ambil pusing pun masyarakat nak cakap apa. Yang penting niat adalah untuk menghiburkan orang ramai sudah tercapai.

“Sejujurnya saya selalu sahaja dapat komen dan kritikan orang kata paras rupa saya ibarat tukang kebun, gigi saya pun dikatakan jongang.

“Secara peribadi, kata-kata sedemikianlah yang akan lebih menaikkan dan membakar semangat saya untuk terus berjuang dalam berkarya, makin orang berkata sebegitu makin menjadilah saya,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, selepas lagu baharu ini Usop akan fokus pula dalam mencari material lain untuk single seterusnya.

“Insya-ALLAH doakan agar lagu ini mendapat sambutan menggalakkan dan perancangan saya seterusnya akan mengeluarkan lebih banyak lagu-lagu yang sarat dengan kesedihan,” akhirinya.