'Si Tanggang' ugut ibu dengan parang

Noorzainy
Noorzainy
A
A
A

KEPALA BATAS- Hanya kerana tidak diberikan duit yang diminta, seorang lelaki sanggup mengugut ibunya sendiri dengan menggunakan sebilah parang dalam kejadian di Taman Kuala Bekah, Penaga di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, dalam kejadian yang berlaku jam 5.30 petang itu, suspek yang berusia 24 tahun dikatakan meminta sejumlah wang daripada ibunya yang berusia 50 tahun untuk membeli bekalan dadah.

Namun ibunya enggan melayan permintaan anaknya itu menyebabkan dia 'naik hantu' sebelum mengambil sebilah parang di dapur dan mengacukan kepada ibunya sendiri sambil mengugut mahu mencederakannya.

Noorzainy berkata, ibunya yang ketakutan dengan perbuatan anak lelakinya itu terus melarikan diri dan kemudian datang ke balai buat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

"Hasil siasatan polis mendapati punca kejadian berlaku disebabkan suspek tidak mendapat wang yang diminta daripada pengadu dan ini bukan pertama kali suspek bertindak mengugut ibunya.

"Tiada saksi bebas yang melihat kejadian dan suspek juga telah melarikan diri selepas kejadian dan tidak diketahui telah ke mana," katanya ketika dihubungi di sini.

Noorzainy berkata, siasatan yang dilakukan di tempat kejadian telah menemui sebilah parang yang digunakan oleh suspek untuk mengugut ibunya.

Katanya, lelaki berkenaan kini telah disenaraikan sebagai orang yang dikehendaki (Wanted) dan orang awam yang mempunyai maklumat mengenai suspek boleh menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu pihak polis.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.