Kemenangan berharga ke atas KL untuk kekal dalam Liga Super

Aksi pemain pasukan Felda United FC Mohamad Arif Fadzilah Abu Bakar (tengah) diasak dua pemain Kuala Lumpur pada perlawanan Liga Super Malaysia 2019 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras semalam. - Foto Bernama
Aksi pemain pasukan Felda United FC Mohamad Arif Fadzilah Abu Bakar (tengah) diasak dua pemain Kuala Lumpur pada perlawanan Liga Super Malaysia 2019 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras semalam. - Foto Bernama
A
A
A

KETUA jurulatih Felda United, Mohd Nidzam Jamil mengakui kemenangan 2-0 ke atas Kuala Lumpur pada aksi Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, di sini, malam tadi amat bermakna bagi pasukan berkenaan untuk terus kekal bersaing dalam Liga Super.

Beliau mendedahkan kemenangan tersebut hasil perancangan rapi barisan kejurulatihan memandangkan beliau menghadiri kursus kejurulatihan Lesen Profesional Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bersama beberapa jurulatih lain di Hotel Armada, Petaling Jaya, sejak beberapa hari lepas.

“Saya ingin berterima kasih kepada pembantu saya iaitu jurulatih Zahid, Khairul, Azlisham yang menjaga pasukan selama beberapa hari, dan mereka akan terus membuat perancangan untuk pasukan Felda termasuk mengendalikan sesi latihan sepanjang ketiadaan saya sehingga 17 Julai ini,” katanya pada sidang media selepas perlawanan berkenaan.

Dalam pada itu, Mohd Nidzam menjelaskan skuad ‘The Fighters’ perlu meraih keputusan positif dalam tiga baki perlawanan liga menentang PKNP FC, Pahang dan Kedah untuk memperbaiki kedudukan dalam carta Liga Super.

Felda United kini menduduki tangga ke-11 daripada 12 pasukan dengan kutipan 15 mata selepas 19 perlawanan setakat ini.

Sementara itu, pengendali sementara Kuala Lumpur, Roslee Md Derus berkata beliau mengakui kesilapan individu menjadi punca kekalahan pada perlawanan berkenaan, namun memuji persembahan segelintir pemain yang mempamerkan aksi cemerlang pada perlawanan tersebut.

Bekas pemain kebangsaan itu mendedahkan peluang skuad warga kota untuk kekal dalam Liga Super pada musim hadapan tampak sukar, namun masih menaruh keyakinan kepada barisan pemainnya untuk melakar keputusan positif dalam dua baki perlawanan menentang juara Liga Super 2019, Johor Darul Ta’zim dan Perak.

“Realitinya memang sukar di atas kertas, tapi kita kena teruskan juga dan kami mungkin mengharapkan keajaiban pada dua baki perlawanan ini dan kita tengok apa yang akan terjadi selepas ini,” jelas Roslee.

Artikel Berkaitan:

Kuala Lumpur menghampiri zon penyingkiran ke Liga Premier musim hadapan selepas menduduki tangga terakhir daripada 12 pasukan dengan kutipan 14 mata selepas 20 perlawanan setakat ini. - Bernama