Salah postur badan beri kesan jangka panjang

KELAZIMAN ketika menggunakan peranti, manusia akan sering membongkok dengan keadaan leher dipaksa ke hadapan dengan kecondongan antara 45 hingga 60 darjah.
A
A

PRESIDEN Persatuan Fisioterapi Malaysia, Yew Su Fen yang berpengalaman lebih 35 tahun berkata, penggunaan gajet dalam tempoh lama boleh mengubah keadaan postur leher dan bahagian atas tulang belakang dengan begitu drastik sekali.

Ujar Su Fen, lazimnya ketika menggunakan peranti, manusia akan sering membongkok dengan keadaan leher dipaksa ke hadapan dengan kecondongan antara 45 hingga 60 darjah atau adakalanya lebih.

"Apabila dilakukan dengan begitu kerap dan dalam tempoh masa yang begitu lama, keadaan postur akan mengakibatkan tekanan kepada tulang serviks pada bahagian belakang.

"Keadaan itu akan turut mengakibatkan keadaan tulang belakang lebih cepat haus dan rapuh dan akhirnya menyebabkan kesakitan yang amat ketara sekali,” katanya.

Su Fen menjelaskan, kecederaan akibat tekanan yang berulang disertai kesakitan pada bahagian leher disebabkan penggunaan gajet yang berlebihan dikenali sebagai simptom Text Neck.

"Dalam mengurangkan fenomena kecederaan Text Neck itu, terdapat beberapa cara dan amalan yang diamalkan seperti memegang telefon pintar antara 14 sehingga 16 inci jauh dari pelarasan mata iaitu jarak membaca yang disyorkan.

"Kita juga harus menggunakan gajet pada paras mata dengan keadaan kepala menegak, dagu terselip dan keadaan bahu pada kedudukan yang neutral dan santai.

“Dinasihatkan juga agar digunakan huruf serta abjad cetak (font) yang lebih besar apabila menggunakan peranti mudah alih,” katanya kepada e-Trend baru-baru ini.

Su Fen menjelaskan, bukan sahaja sakit leher, ketegangan pada bahagian bawah pinggang juga sering berlaku disebabkan postur badan dalam keadaan duduk dalam tempoh masa yang lama.

"Kajian menunjukkan kira-kira 70 hingga 80 peratus populasi global akan mengalami kesakitan pada bahagian pinggang belakang.

"Kesakitan itu telah menduduki tempat teratas dari segi ketidakupayaan dan keenam tertinggi dari segi beban kesihatan secara keseluruhannya oleh Kajian Beban Penyakit Global 2010," katanya.