Tumbuh 'tanduk', sakit saraf, mata juling

KANAK-KANAK seawal usia 13 tahun dikesan antara pengguna tegar telefon pintar dan tablet.
KANAK-KANAK seawal usia 13 tahun dikesan antara pengguna tegar telefon pintar dan tablet.
A
A
A

HANYA kerana taksub dengan gajet, seorang cucu yang juga seorang remaja sanggup mengacukan pisau kepada datuknya sendiri gara-gara enggan membayar caj permainan video dalam telefon pintarnya.

Dalam satu rakaman video yang tular dalam media sosial Facebook baru-baru ini, remaja berkenaan dilihat memegang pisau pemotong daging dan mengamuk kerana permintaannya tidak dipenuhi orang tua itu.

Sampai begitu sekali penangan obsesi terhadap gajet. Sepatutnya, kecanggihan teknologi membantu memudahkan urusan manusia sejagat.

Namun, sejak kebelakangan ini, ia telah disalahgunakan hingga ke tahap sanggup menjadi pembunuh.

Berdasarkan penyelidikan Akademi Pediatrik Amerika dan Persatuan Pediatrik Kanada, kanak-kanak berusia dua tahun tidak sepatutnya didedahkan dengan gajet.

Pakar terapi pediatrik, Cris Zone juga menyarankan larangan penggunaan gajet ke atas kanak-kanak berusia di bawah 12 tahun.

Ujar Zone, pada usia itu, kanak-kanak akan sentiasa mencari cara mengembangkan kemampuan otak untuk mempelajari perkara baharu dan penggunaan gajet dalam tempoh lama akan memberi kesan buruk terhadap perkembangan otak.

"Penggunaan gajet tanpa kawalan akan memberi kesan kepada urat saraf kanak-kanak kerana terdedah kepada cahaya berterusan.

Artikel Berkaitan:

"Saraf yang rosak akan mengakibatkan kesihatan mereka terganggu. Malah terdapat beberapa bukti pendedahan gajet terlalu awal menyebabkan pelbagai kesan sampingan seperti pembelajaran terjejas dan perubahan perlakuan," katanya seperti dipetik menerusi media antarabangsa.

Sakit saraf

Membuktikan kata pakar itu benar, isteri kepada penyanyi popular tanah air iaitu Lan Solo memberitahu, anaknya turut berdepan implikasi negatif akibat penggunaan gajet.

Nur Sheila Hassim berkata, zuriatnya hampir berdepan gangguan saraf. Menerusi satu hantaran di Instagram, Nur Shiela berkongsi simptom anak lelakinya, Muhammad Akid Qassyaff yang sama dengan video seorang kanak-kanak di Filipina.

"Punca daripada perkara sama, gajet. Sama kejadiannya. Mata tidak berhenti berkedip-kedip, bangun tidur nangis sebab mata sakit. Selepas itu pening kepala.

"Nasib baik kami cepat perasan. Kami terus simpan semua gajet dan ya, Akid mengamuk sepanjang hari sebab tak dapat gajet. Tapi kami kentalkan hati, biar sampai dia lupa gajet.

“Alhamdulillah, seminggu saja dia lupa semuanya. Terus hilang sakit kepala dan mata berkedip-kedip dia itu," katanya.

Mata juling, miopia

Lain pula kisah yang dikongsikan pakar mata, Dr Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah yang menerima banyak kes mata juling daripada pesakit ciliknya hanya disebabkan gajet.

"Hari ini, hari juling di klinik saya. Beberapa orang pesakit anak-anak datang sebab mata juling, sebab sehari main gajet sampai berjam-jam.

"Bila ditanya, si mak tuding jari ke ayah, ayah tuding jari ke mak," katanya menerusi Medical Mythbusters Malaysia.

Ujar Dr Azlindarita, anak yang berusia bawah tujuh tahun jika dibenarkan bermain gajet lebih dari dua jam seminggu, boleh berisiko tinggi rabun jauh.

"Apabila mata kabur akibat rabun, ada potensi jadi mata malas dan juling. Nanti apabila juling, diejek di sekolah dan anak-anak boleh jadi rasa rendah diri.

"Ajak anak-anak bermain di bawah cahaya matahari untuk galakkan penghasilan dopamin dalam bola mata dan elakkan rabun jauh. Kalau nak tengok televisyen, pastikan jarak adalah dua meter atau lebih,” katanya.

Tumbuh tanduk

Sememangnya, bahana gajet bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan.

Dalam satu penemuan mengejutkan di Queensland, Australia, tulang ‘tajam’ telah didapati tumbuh pada belakang tengkorak atau 'tanduk' seorang individu yang asyik melihat telefon pintar atau tablet.

Imej bonjolan tulang pada seorang responden berumur 28 tahun dilaporkan lebih besar berbanding tengkorak manusia yang berusia 58 tahun sekali gus telah mengemparkan ramai pihak.

Melihat situasi itu, pasukan penyelidik Universiti Sunshine Coast itu merumuskan, 'tanduk' di belakang tengkorak itu berpunca gara-gara asyik bermain atau menumpukan perhatian kepada telefon pintas atau tablet.

Ketua penyelidiknya, Dr David Shahar berkata, para penyelidik telah membuat imbasan lebih 1,000 tengkorak orang ramai yang berusia antara 18 tahun sehingga 86 tahun.

"Bilangan mereka yang mengalami pembesaran tulang yang dinamakan occipital protuberance itu semakin bertambah terutamanya dalam kalangan golongan belia.

"Penemuan ‘tanduk’ tersebut biasa dilihat dalam kalangan mereka yang berusia antara 18 tahun hingga 30 tahun," katanya.

Ujar Shahar, masa berjam-jam yang diperuntukkan untuk melihat telefon pintar, tablet dan komputer riba barangkali menyebabkan tekanan pada bahagian tubuh khususnya pada leher.

"Tubuh yang jarang digunakan mengakibatkan ia berubah sedikit demi sedikit.

"Dalam kes itu, otot bahagian leher yang bersambung pada belakang kepala kerap digunakan apabila seseorang tunduk untuk melihat telefon pintar.

"Kepala orang dewasa secara umumnya memiliki berat 5 kilogram. Sebagai tindak balas, otot berkenaan menjadi semakin besar dan kuat.

"Tengkorak pula akan menghasilkan lapisan tulang baharu untuk mengukuhkan bahagian tersebut bagi menyokong otot terbabit,” kata Shahar.