Makan beramai-ramai lebih berkat

Islam menggalakkan umatnya makan beramai-ramai kerana ia dapat menyuburkan kasih sayang. -GAMBAR HIASAN.
Islam menggalakkan umatnya makan beramai-ramai kerana ia dapat menyuburkan kasih sayang. -GAMBAR HIASAN.
A
A
A
APABILA kita melakukan suatu perkara secara beramai-ramai, hasilnya lebih baik daripada jika ia dilaksanakan bersendirian.

Malah, manfaat dan rezeki diperoleh juga boleh dikongsi bersama-sama.

Begitu juga ketika kita makan kerana Islam menggalakkan umatnya supaya makan secara beramai-ramai.

Kenapa pula begitu? Dengan cara tersebut, ia sebenarnya dapat menyuburkan kasih sayang, sekali gus mengeratkan silaturahim dan meraih keberkatan ALLAH SWT.

Rasulullah SAW bersabda: "Berkumpullah ketika makan dan sebutlah nama ALLAH (Bismillah)! Nescaya Dia akan memberkati makanan kamu." (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Dalam satu hadis yang lain, sabda baginda SAW: "Makanlah dengan berkumpul dan jangan sendiri-sendiri! Makanan satu orang cukup untuk dua orang, makanan dua orang cukup untuk tiga atau empat orang. Makanlah dengan berkumpul dan jangan sendiri-sendiri! Kerana berkat itu ada dalam jemaah."

Rasulullah SAW menegaskan: "Makanan yang paling disukai ALLAH ialah makanan yang dijamah banyak tangan." (Riwayat Abu Ya'la, Ibnu Hibban, Baihaqi dan Adh Dhiya)

Berdasarkan hadis-hadis tersebut, makan secara beramai-ramai akan melahirkan keberkatan apabila setiap orang yang menjamah hidangan melahirkan kesyukuran terhadap rezeki yang dikurniakan.

Biarpun sedikit makanan itu, apa salahnya jika ia dikongsi dan dinikmati bersama.
Artikel Berkaitan:


Percayalah ALLAH SWT pasti akan mencukupkan rezeki kita.

(Sumber: Muhd Nasruddin Dasuki)