Bapa, anak antara penagih cekup di Masjid Kapitan Keling

Seramai 14 individu melakukan pelbagai kesalahan dadah ditahan di kawasan Jalan Masjid Kapitan Keling semalam.
Seramai 14 individu melakukan pelbagai kesalahan dadah ditahan di kawasan Jalan Masjid Kapitan Keling semalam.
A
A
A

GEORGETOWN - [DIKEMASKINI] Seorang lelaki ditahan bersama anaknya berusia 13 tahun selepas pemeriksaan mendapati, kedua-dua beranak itu positif syabu dalam operasi khas semalam.

Mereka antara 14 individu ditahan dalam Operasi Tapis Khas diadakan sekitar Jalan Masjid Kapitan Keling bermula jam 6.30 hingga 11 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, mereka ditahan adalah 10 lelaki dan dua wanita tempatan berusia lingkungan 13 hingga 56 tahun.

Menurutnya, kesemua mereka ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Hasil ujian saringan awal air kencing, didapati kesemua tangkapan positif dadah jenis morfin dan syabu. Dalam operasi khas ini juga, beberapa jenis dadah seperti heroin dan syabu turut dirampas.

"Daripada tangkapan itu, polis turut menangkap dalang mengedar dadah kepada penagih di kawasan tersebut. Kita akan terus melakukan operasi seperti ini dari masa ke semasa di kawasan tersebut untuk membersihkannya dari sebarang aktiviti yang tidak sihat," katanya ketika dihubungi tadi.

Beliau berkata, operasi itu juga bagi menahan mereka yang mencemarkan kawasan sekitar Jalan Masjid Kapitan Keling dengan aktiviti tidak sihat berikutan kawasan tersebut merupakan tumpuan pelancong.

"Oleh itu, saya meminta masyarakat setempat supaya dapat menjadi mata dan telinga polis dalam menyalurkan sebarang maklumat kepada kita.

Artikel Berkaitan:

"Sekiranya orang awam mengesan ada kegiatan melibatkan penagihan dan pengedaran dadah serta jenayah di kawasan mereka, segera melaporkannya kepada polis," katanya.