Turun had umur mengundi perlu disertakan dengan pendidikan

No Image Caption
A
A
A

SEREMBAN - Cadangan kerajaan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan melibatkan penurunan had umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun, pendaftaran automatik dan kelayakan calon pilihan raya kepada 18 tahun perlu disertai dengan pendidikan dalam aspek kenegaraan dan proses demokrasi.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata ini penting bagi melahirkan pengundi yang memahami hak dan tanggungjawab serta kesan undian mereka dalam pilihan raya.

“Pendidikan ini perlulah dimulakan seawal umur 15 tahun di sekolah-sekolah bagi memberi pendedahan dan kefahaman tentang hak dan tanggungjawab mereka sebagai pengundi serta mengapa undi mereka itu penting yang mana jika tersalah membuat keputusan akan mengakibatkan kesan kepada tadbir urus negara.

“Kita tak ada masalah untuk menurunkan had umur kepada 18 tahun tetapi mereka itu perlulah diberi kefahaman yang cukup untuk kita lahirkan pengundi yang berkualiti. Kita nak pengundi yang berkualiti untuk kita lahirkan pemimpin negara yang berkualiti. Saya menyokong cadangan ini tetapi dengan syarat kena ada pendidikan,” katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan merangkumi penurunan had umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun, pendaftaran automatik dan kelayakan calon pilihan raya kepada 18 tahun.

Mengulas lanjut, Mohamad Rafie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Ampangan berkata untuk itu, beliau mencadangkan supaya satu subjek khas atau penekanan mengenai proses demokrasi dan kenegaraan dimasukkan dalam silibus pembelajaran di sekolah.

“Soal umur bukanlah kriteria utama yang perlu diberikan penekanan sebaliknya kefahaman pengundi baik yang baharu atau lama mengenai tanggungjawab dan kesan daripada pengundian mereka terhadap negara.

“Kalau mereka ini tidak mempunyai kefahaman mengenai tanggungjawab mereka, maka ia akan menyebabkan banyak masalah,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: