Bahaya aktiviti pengeboman ikan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PADA 5 Julai lalu, Malaysia dikejutkan dengan tragedi tiga penyelam maut dipercayai terkena bom ikan dalam kejadian di Pulau Kalapuan, Semporna, Sabah.

Kejadian itu benar-benar membuka mata kita bagaimana aktiviti pengeboman ikan bukan sahaja boleh mengancam nyawa pengebom sendiri tetapi juga nyawa orang lain yang tidak berdosa.

Malah sebelum ini kita sudah biasa mendengar berita ada individu yang menjadi korban akibat kegagalan mereka mengendalikan bom ikan. Tetapi apa yang berlaku Jumaat lalu sememangnya perlu ada penguatkuasaan yang lebih tegas.

Berdasarkan laporan kelmarin, Pasukan Polis Marin menjelaskan sebanyak 30 tangkapan berkaitan bom ikan berjaya dilakukan dari Januari hingga Jun tahun ini.

Semua tangkapan tersebut disiasat di bawah kesalahan Akta Perikanan 1985 dan Akta Bahan Letupan 1957.

Melihat dalam skop yang holistik, aktiviti pengeboman ikan itu bukan sahaja membahayakan nyawa bahkan ia turut memberi kesan secara langsung kepada industri perikanan dan juga pelancongan.

Manakan tidak, akibat pengeboman ikan, ekosistem marin akan musnah dan pembiakan ikan akan terbantut.

Itu yang menyebabkan ikan semakin berkurangan disebabkan terumbu karang musnah serta memberi kesan kepada nelayan tempatan.

Artikel Berkaitan:

Begitu juga dengan industri pelancongan di mana bilangan pelancong akan berkurangan disebabkan mereka takut untuk melakukan aktiviti menyelam akibat ancaman bom ikan.

Oleh itu, bagi membendung aktiviti itu, pihak berkuasa perlu melakukan rondaan di kawasan yang kerap berlakunya pengeboman ikan selain menambah hukuman terhadap pesalah.

Selain itu, kerajaan juga perlu mewartakan lebih banyak lagi kawasan sebagai Taman Laut bagi melindungi habitat serta ekosistem marin daripada terus diancam aktiviti keselamatan.

Kesimpulannya, aktiviti pengeboman ikan adalah satu kesalahan yang amat serius di sisi undang-undang.

Malah pesalah juga boleh disiasat di bawah pelbagai akta atau seksyen kesalahan termasuklah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.