Sedihnya menjadi orang akademik

A
A
A

MINGGU lalu, seluruh negara memerhati dengan penuh minat ‘perang kecil’ akibat penulisan kritis ‘orang akademik’ muda yang berani di media sosial yang mungkin telah menyinggung seorang tokoh wartawan veteran.

Tanpa perlu mengulas panjang tentang apa yang berlaku, secara mudahnya perkara itu berkait dengan kebebasan akademik dan tekanan politik yang sering berlaku dalam persekitaran pengajian tinggi di Malaysia.

Cuma yang menyedihkan ia berlaku ketika mana kita sedang rancak beranjak membentuk Malaysia Baharu.

Kes yang berlaku minggu lalu bukan sesuatu yang baharu. Barangkali kita masih lagi belum lupa dengan kes empat orang akademik yang terlibat dalam rumusan eksekutif bagi meratifikasikan Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) kepada Majlis Raja-Raja lunyai dibantai oleh pelbagai pihak gara-gara dikatakan berat sebelah dan tidak jujur sebagai ahli akademik.

Malangnya ketika isu itu timbul, tiada satupun pihak yang melihat itu dari sudut kredibiliti dan kebebasan akademik.

Malah hanya sedikit perbincangan, dialog atau perdebatan akademik tentangnya dibuat. Selebihnya ia dipolitikkan dan dijadikan medan untuk mencerca dan memperkecilkan usaha mereka walaupun mereka ialah pakar rujuk dalam bidang perundangan.

Sebagai orang akademik, perkara itu tidak sepatutnya berlaku apatah lagi ketika kerajaan sudah pun berjanji untuk menggubal akta baharu bagi meraikan kebebasan akademik serta memberikan universiti autonomi lebih luas selaras hasrat kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk mengembalikan kewibawaan universiti.

Sepatutnya, tatkala ada orang akademik yang membentangkan hujahan dan fakta walaupun keras mengkritik, ia harus disanggah secara berhemah dan berhikmah. Ini lebih baik daripada mengugut dan membunuh perbezaan pemikiran yang akhirnya merugikan negara dan bangsa.

Artikel Berkaitan:

Penulis percaya mana-mana orang akademik melihat kebebasan akademik sebagai keperluan untuk mencari, menegakkan dan memperbaharui kebenaran berlandaskan fakta dan epistemologi ilmu.

Sudah tentu, untuk menemukan dan memperbaharui sesuatu kebenaran, persekitaran bebas dan terbuka sangat diperlukan baik dalam konteks penyampaian ilmu, pembacaan, pengkajian, perdebatan idea dan pemikiran.

Dalam kes yang ketika ini, kalau seorang pensyarah Sains Politik tidak boleh menulis dan menyampaikan pandangan dan pemikiran politiknya secara jujur, bebas dan terbuka, bagaimana pula kita mampu untuk mengharapkan penemuan dan pembaharuan kebenaran itu berlaku?

Malanglah mana-mana bangsa atau negara kalau budaya ilmu menerusi wacana dan perdebatan yang sihat tidak membudaya dalam masyarakatnya.

Sepatutnya tradisi ilmu diperluaskan dan dibugarkan bukan sekadar dalam kepompong akademik semata-mata. Malah ia harus diperbanyak dan dirancakkan baik dalam bentuk perbincangan mahupun penulisan.

Makin kerap ia dilakukan, makin banyaklah idea dan pemikiran baharu boleh dicanai.

Kita harus percaya mana-mana wacana dan perdebatan ilmiah dilakukan semata-mata kerana mahu mencari kebenaran yang akhirnya menghasilkan sesuatu yang bermanfaat dan menjadikan negara lebih maju, kuat dan bermaruah.

Kalau program bersifat hiburan yang melekakan tumbuh macam cendawan lepas hujan, melata dari budak baharu menetas sehingga orang tua sudah senja, dari program realiti menyanyi sampai pertandingan lawak melugai mendapat tempat khusus arus perdana, mengapa perkara sama tidak berlaku dalam konteks membudayakan ilmu?

Semua pihak harus disedarkan bahawa mana-mana usaha membunuh kebebasan akademik dan hak bersuara bakal mengundang bala buat masyarakat.

Ia tidak sepatutnya dilihat sebagai isu terpencil membabitkan orang akademik tetapi melibatkan semua pihak.

Bak kata aktivis hak sivil, Martin Luther King Jr: “Tragedi menimpa rakyat apabila orang baik berdiam diri ketika berhadapan penindasan dan kezaliman.”

Fikir-fikirkanlah.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara, Kampus Seremban