Fadzil, Yana tak ajar anak cium mulut

Pelakon, Fadzil Zahari
Pelakon, Fadzil Zahari
A
A
A

"TAK pernah ajar Mateen macam itu," ujar pelakon dan penerbit, Fadzil Zahari tentang aksi anaknya, Aisy Mateen yang baru sahaja berusia tiga tahun itu apabila mencium mulut ibunya, Yana Samsudin ketika sedang membuat siaran langsung di Instagram (IG Live), baru-b aru ini.

Dalam pada itu, Fadzil, 35, juga bersetuju dengan kenyataan isterinya yang dimuat naik di Instagram pada Selasa lalu mengenai pendedahan pendidikan seksualiti kepada anaknya agar tidak mengulangi perbuatan yang sama.

"Kami ada bertanya dengan Mateen dari mana dia belajar mencium mulut ini? Sebab pelik siapa pula yang ajar atau mungkin dia ada ternampak di kaca televisyen mahupun di YouTube.

"Malah, kami juga ada pesan pada bahagian mana sahaja yang dibolehkan untuk mencium, seperti di dahi, tangan, ubun-ubun dan juga pipi.

"Sebenarnya sudah beberapa kali Mateen buat macam itu tetapi, kami sudah pesan jangan buat lagi. Namun bila Yana buat IG Live, Mateen cium mulut dia (isteri), terkejut juga kami," ujar Fadzil kepada Sinar Harian ketika dihubungi sebentar tadi.

Kata pelakon Kerna Syurga Bukan Percuma itu lagi, Mateen sudah tidak mengulangi perbuatan tersebut selepas ditegur dan dinasihati.

No Image Caption

Sementara itu, Fadzil turut memberitahu, hasil tinjauan di ruang komen perkongsian Yana mendapat respons yang positif.

Artikel Berkaitan:

"Di ruangan komen ada yang berkongsi tip pendidikan anak dan tak kurang juga ramai yang baru tahu bahawa perkara itu dilarang, bahkan dalam Islam sendiri tidak menggalakkan anak untuk mencium pada bahagian yang mampu merangsangkan nafsu.

"Bagi saya, ibu bapa perlu memberikan pendedahan awal dan menasihati anak supaya mereka peka dan tidak melakukan perkara terlarang itu.

"Elok kita sendiri yang berikan jawapan apabila anak-anak berbicara soal seksualiti supaya mereka tidak tersalah mendapatkan jawapan sendiri. Anak kena tahu apa yang boleh dan tak boleh," jelasnya lagi.

Mengenai perkembangan kerjaya, Fadzil menerusi syarikatnya, Prokuya Studios bakal menerbitkan telefilem yang mengangkat kisah homoseksual yang berlaku dikalangan pelajar lelaki di institusi pusat pengajian agama.

Telefilem Demi Tuhan Aku Bersaksi, terbitan syarikat itu dijangka bersiaran pada September depan, menampilkan barisan pelakon seperti Syafie Naswip, Fezrul Khan, Aman Graseka, Taiyuddin Bakar, Ismail Yaakob, Sheila Mambo dan Melanie Tan.