Kegigihan kakitangan Hotel Movenpick cari pasport jemaah haji tular

Rakaman video pekerja hotel menjumpai pasport jemaah haji dalam tong sampah.
Rakaman video pekerja hotel menjumpai pasport jemaah haji dalam tong sampah.
A
A
A

SEPANG - Kegigihan sekumpulan kakitangan Hotel Movenpick dan Pusat Konvensyen yang dimiliki Tabung Haji untuk mencari pasport milik seorang jemaah haji dalam tong sampah akhirnya berjaya ditemui semula.

Kejadian tersebut berlaku dua hari lalu melibatkan kumpulan jemaah haji yang berlepas daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang menuju ke Madinah.

Bagaimanapun, salah seorang jemaah haji telah kehilangan pasport beliau menyebabkan lima kakitangan hotel tersebut berusaha untuk mencarinya sehingga jumpa.

Rakaman video mengenai usaha murni kakitangan hotel itu menjadi tular dan dalam masa yang sama turut mengingatkan kepada semua jemaah agar lebih berhati-hati dengan dokumen penting itu.

"ALLAH hendak duga hamba-hamba-Nya dengan pelbagai cara. Nak menunjukkan yang ALLAH itu maha kaya. Pagi ni punya cerita, jemaah terbuang pasport dalam tong sampah, satu flight kena tangguh.

"Petugas hotel, bertungkus-lumus mencari pasport sampai semua tong-tong sampah diperiksa. Buat peringatan pada semua bakal-bakal haji, pasport amat penting kena jaga selain daripada keselamatan diri kita," kata pengirim video tersebut.

Dalam pada itu, Sinar Harian telah menghubungi pihak Tabung Haji dan dimaklumkan bahawa tiada sebarang penangguhan penerbangan melibatkan kumpulan jemaah tersebut selepas pasport itu ditemui semula.

"Kejadian berlaku pada dua hari lalu dan jemaah hanya tersalah letak pasport sahaja dan semua jemaah dapat meneruskan perjalanan mereka seperti biasa," katanya.

Artikel Berkaitan: