X

Kindly register in order to view this article
!

Sensasi BeetlebyHattaDolmat

A
A

KUMBANG. Enam aksara itu membawa maksud serangga berkepak dan berkulit keras yang mempunyai pelbagai warna dan terdapat lebih daripada 300,000 ribu spesis di dunia.

Jika dalam sektor pertanian, serangga tersebut bukan sahaja dianggap sebagai hama perosak, bahkan turut membantu proses pendebungaan tanaman. Bagaimanapun, berlainan pula fungsi serangga berkenaan dalam industri fesyen di luar negara apabila ia menjadi ilham dan antara motif menghiasi busana pelbagai jenama.

Malaysia juga tidak terkecuali. Ciri artistiknya yang unik dan berseni secara tidak langsung menyuntik inspirasi kepada pereka fesyen, Muhammad Hatta Dolmat (Hatta Dolmat) yang bereksperimen menghasilkan karya bermotifkan kumbang.

Selepas memperkenalkan koleksi fesyen sedia pakai wanita dan jejaka cetakan kumbang pada Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) 2015, kini anak kelahiran Kuala Sungai Baru, Melaka itu melebarkan sayap baharu melancarkan pakaian BeetlebyHattaDolmat.

Sisi maskulin

Menurut Hatta, BeetlebyHattaDolmat merupakan fesyen jalanan (street wear) khusus buat golongan lelaki yang meminati stail kasual, santai dan maskulin.

“Koleksi baharu itu hadir dalam tiga rekaan iaitu Beetle Shadow, Beetle Monotonous dan Beetle Outline yang mana masing-masing menerapkan motif kumbang tersendiri.

“Misalnya, Bettle Outline bermain dengan garis bentuk (outline) kumbang warna putih atau hitam dilakar atas baju-T polos nuansa biru, merah dan putih,” jelasnya ketika ditemui e-Trend di butik baharunya di Soho Suites, Jalan Perak di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menyentuh mengenai Monotonous pula, graduan Universiti Teknologi Mara, Shah Alam itu menjelaskan, koleksi berkenaan memaparkan motif kumbang dalam konsep ala Ying dan Yang pada bahagian depan jumper (baju panas).

Jumper istimewa yang ideal diterapkan konsep suai padan bersama kemeja dan baju-T berkolar itu hadir dalam tiga warna utama putih, hitam dan biru lembut.

“Sementara itu, bagi koleksi Beetle Shadow, saya memfokuskan pada rangkaian baju-T dan kemeja persis rangkaian Polo yang turut berasaskan kumbang. Logo kumbang diletakkan pada bahagian dada kiri dan lengan kanan.

“Saya sengaja menampilkan rekaan minimalis bagi menyerlahkan sisi lelaki yang kontemporari, sporty dan kekar,” ujarnya mengenai Beetle Shadow yang terdiri daripada rona merah, hijau, biru gelap, hitam, putih dan biru lembut.

Flora dan fauna

Sebelum mengakhiri pertemuan bersama e-Trend, Hatta turut memberitahu bahawa kecenderungannya berkarya dengan elemen serangga tidak akan berhenti setakat kumbang sahaja.

Sebaliknya, pereka yang murah dengan senyuman itu sedang sibuk merencanakan busana baharu bermotifkan flora dan fauna.

“Inisiatif itu bertujuan mendidik masyarakat bahawa dikala berfesyen dalam persalinan anggun dan segak, jangan sesekali mengabaikan tanggungjawab terhadap alam sekitar.

“Jika tiada aral melintang, pada pertunjukkan KLFW 2019 saya akan menterjemahkan mesej sayangi flora dan fauna menerusi koleksi busana,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!