Alat kesan gas di sekolah membazir, kata pemimpin MCA

Tuan Peng menjelaskan kelamahan alat pengesan gas yang dibekalkan ke 111 sekolah.
Tuan Peng menjelaskan kelamahan alat pengesan gas yang dibekalkan ke 111 sekolah.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kesemua alat pengesan gas yang dibekalkan di 111 sekolah di Pasir Gudang didakwa satu pembaziran.

Ketua Bahagian MCA Pasir Gudang, Tan Tuan Peng berkata alat yang berharga sekitar RM10,000 setiap satu itu hanya sesuai digunakan untuk kawasan tertutup bukan kawasan terbuka seperti sekolah.

Katanya, kerajaan sepatutnya membeli peralatan menganalisa gas (Gas Analyst Equipment) bagi mengesan gas yang menjadi punca pencemaran di Pasir Gudang.

"Sampai sekarang kerajaan dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) tak dapat kesan gas apa yang menyebabkan pencemaran di Pasir Gudang. Kenapa? Sebab mereka menggunakan peralatan yang tak betul.

"Alat pengesan gas yang dibekalkan ke 111 sekolah pun tak betul, alat itu hanya sesuai untuk kawasan tertutup macam terowong dan dalam kapal sedangkan sekolah itu bukan kawasan tertutup.

"Setidaknya kerajaan beli sebuah 'Gas Analyst Equipment' untuk analisa gas bukan 111 alat pengesan gas letak di sekolah. Kalau ada lima buah 'Gas Analyst Equipment' di Pasir Gudang lebih baik," katanya pada sidang media di Pejabat MCA Pasir Gudang, di sini hari ini.

Sebelum ini, 111 sekolah di Pasir Gudang menerima alat pengesan gas bagi mengesan bacaan 'Volatile Organic Compound (VOC) dan data bacaan VOC itu dalam tempoh 24 jam akan digunakan bagi menganalisa serta mencari punca gangguan kesihatan di sekolah.

Menurut Tuan Peng, peralatan menganalisa gas yang bernilai antara RM50,000 hingga RM200,000 itu boleh mengesan segala jenis gas yang terkandung dalam udara seperti yang digunakan Petronas pada kes pencemaran Sungai Kim Kim.

Artikel Berkaitan:

"Saya dah terlibat dalam bidang PPE (peralatan perlindungan diri) lebih 10 tahun dan membekalkan alat pengesan gas sejak lima tahun lalu jadi saya tahu fungsi alat yang dibekalkan itu tidak sesuai.

"Alat pengesan gas itu hanya boleh kesan satu gas sahaja pada satu-satu masa sedangkan 'Gas Analyst Equipment' boleh kesan segala jenis gas kimia dalam udara. Kurang seminggu sahaja dapat kesan gas yang jadi punca pencemaran di Pasir Gudang.

"Tak perlulah beri kepada setiap sekolah macam sekarang, membebankan guru pula. Lebih baik guna peralatan menganalisa gas sebab alat pengesan gas itu terlalu banyak kelemahan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN 111 sekolah di Pasir Gudang terima alat pengesan gas