Penangan hebat Cef Selebriti

A
A
A

SEBAIK menguak daun pintu di SukaSucre Bistro berpangkalan di Cheras, Kuala Lumpur, Cef Selebriti, Fazley Yaakob pantas menyapa kumpulan pelanggan yang sedang menjamu selera di dalam restoran miliknya itu.

Pada masa sama, beliau mesra menerima pelawaan para pelanggan yang ingin merakamkan foto bersamanya.

Masakan tidak, bukan mudah untuk bertemu apatah lagi bergambar secara dekat dengan Fazley yang juga merupakan penyanyi, pelakon, penulis lirik dan pakar motivasi.

"Beginilah, rutin harian saya. Jika tidak sibuk mengendalikan sajian makanan di hotel atau undangan sesi fotografi, saya akan meluangkan sepenuh masa di restoran.

"Di sini, selain memastikan operasi SukaSucre Bistro dalam keadaan terkawal saya juga akan berbincang perkembangan semasa bersama tenaga kerja bagi proses penambahbaikan. Inisiatif ini penting untuk keselesaan para pelanggan,” jelas Fazley ketika ditemui e-Trend di SukaSucre Bistro baru-baru ini.

Bicara pelantun lagu Asmara Ini dan Chocolate Cake itu, dia semakin serasi dalam dunia masakan meskipun pada sedekad lalu, bidang tersebut dipandang remeh masyarakat. Rata-rata menyifatkan kerjaya paling akhir menjadi pilihan khususnya dalam kalangan lelaki.

"Sebelum ini, mereka yang bekerja di dapur digelar tukang masak berbanding cef, namun zaman berubah.

"Kini bidang masakan dianggap profesional sehingga diraikan pelbagai pihak memandangkan saban hari manusia perlu menikmati hidangan makanan dan minuman untuk tenaga bagi menjalani kehidupan," jelas suami kepada Datin Azrene Ahmad itu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Juara Hero Oven 2016 Musim Pertama, Muhammad Naim Ramli atau nama komersial Cef Naem juga berkongsi pandangan yang sama.

Menurutnya, pada hari ini tukang masak antara kerjaya yang berpotensi dan mempunyai masa depan cerah bukan sahaja di peringkat lokal, malah peringkat global.

Sehubungan itu, kepada e-Trend, Fazley dan Naem berkongsi ceritera manis dan pahit yang dilalui sepanjang bergelar Cef Selebriti bersama wartawan, IZYAN LIYANA MOHD DARIF baru-baru ini. Masing-masing mempunyai pendapat tersendiri mengenai dunia masakan.

1) Sejak bila Fazley dan Naem meminati bidang masakan? dan mengapa memilih bidang ini berbanding kerjaya lain?

FAZLEY: Secara jujurnya, bidang masakan bukan pilihan utama meskipun, sejak kecil saya membantu arwah wan (nenek) menjual kuih-muih Melayu di Negeri Sembilan. Arwah bapa pula, Datuk Yaakob Mohammad lahir dalam kalangan famili yang berniaga mi dan kuetiau goreng di Alor Setar manakala adik-adik perempuan saya mendalami bidang kulinari kecuali saya yang memilih aliran akaun dan kewangan. Saya enggan menceburi bidang masakan memandangkan sebahagian besar ahli keluarga saya mahir memasak.

Bagaimanapun, situasi ini berubah selepas memenangi program Masterchef Selebriti Malaysia 2012. Bertitik tolak daripada kemenangan itu saya tidak menoleh ke belakang lalu mengorak langkah menyambung pengajian dalam bidang kulinari (manisan dan pastri) di Le Cordon Blue, Paris, Perancis.

Ia merupakan sebuah sekolah kulinari terkemuka di dunia dan untuk menempatkan diri di sana bukan mudah. Alhamdullilah...tiga semester berturut-turut saya terpilih sebagai pelajar terbaik dan lebih mengembirakan apabila saya ialah pelajar tunggal dari Malaysia.

NAEM: Minat ini disemai pada usia 15 tahun yang mana ketika itu saya sentiasa membantu ibu, Haslina Munir, 56, di dapur. Peringkat awal saya hanya tolong memegang sudip dan mengacau masakan di dalam kuali sebelum diajar merasa bahan-bahan seperti bawang putih, bawang merah, halia, kunyit dan rempah-ratus secara mentah.

Kemudian, dilatih pula memasak sambal dan pelbagai juadah untuk dinikmati kami sekeluarga. Melihat kecenderungan bermain variasi resepi maka usai tamat Sijil Pelajaran Malaysia, ibu menghantar saya belajar peringkat Sijil Kulinari di Universiti Taylor’s sebelum melanjutkan pengajian dalam Diploma Seni Kulinari di Universiti Sunway.

Lantas ilmu masakan yang ditimba itu dipraktikkan sebaik-baiknya apabila saya diterima bekerja sebagai tukang masak di tiga buah hotel terkemuka di Kuala Lumpur kira-kira tujuh tahun lalu.

2) Sepanjang berkecimpung dalam bidang masakan apakah pengalaman pahit yang memberi kesan kepada diri anda?

FAZLEY: Pahit itu tidak, tetapi lucu apabila netizen (warga internet) pernah mengutuk dan mengelarkan saya ‘cef campak-campak’ selepas konsep hidangan manisan, Sweet Table yang diperkenalkan tular dalam laman sosial. Walhal, sajian itu telah lama popular di luar negara khususnya di Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, saya memahami masyarakat kita mungkin kurang kesedaran mengenai konsep makanan sedemikian. Namun siapa sangka, dek kutukan tersebut saya berpeluang memperkenalkan Sweet Table bukan sahaja di Malaysia malah di luar negara seperti di Taipa Village, Macau, Singapura, London dan Paris.

NAEM: Antaranya saya perlu membuat keputusan menamatkan kerjaya cef di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur pada dua tahun lalu. Tindakan itu dilakukan bagi membolehkan saya mengalas tanggungjawab baharu dalam bidang pengacaraan program masakan selepas menjuarai Hero Oven 2016.

Ia bukan keputusan yang mudah apatah lagi sudah tujuh tahun bekerja dalam bidang masakan di hotel. Pada ketika itu, gaji pula lumayan dan selari dengan komitmen bulanan. Walhal, perjalanan karier bersama produksi televisyen masih samar. Berkat sokongan ibu dan ayah serta ahli keluarga saya nekad keluar daripada zon selesa dan berdepan dengan apa jua risiko yang datang.

Lagipun landasan kerjaya baharu ini tetap memerlukan saya memasak cuma bezanya saya perlu berkomunikasi di depan kamera.

3) Bagaimana anda mengatasi masalah yang datang khususnya dikala berdepan persepsi negatif ataupun teguran daripada orang lain?

FAZLEY: Saya seorang yang positif. Kecaman dan kutukan yang diterima merupakan satu doa serta kritikan membina untuk saya terus bereksperimen menghasilkan pelbagai produk dan menu terbaik. Bagi saya apabila netizen mengambil peduli, ini bermakna mereka ingin mengambil tahu terhadap apa jua perkara yang saya lakukan.

Justeru, tidak perlu membuang masa berdebat kerana setiap persoalan lazimnnya dijawab menerusi paparan dalam laman sosial Instagram, Twitter dan TikTok. Setiap aktiviti dan perkembangan dunia masakan saya kongsikan di sana.

NAEM: Pernah pada satu ketika saya hampir berputus asa meneruskan perjuangan dalam industri seni gara-gara menganggur selama beberapa bulan sehingga mengalami kekurangan sumber kewangan. Namun, kesabaran saya berbayar apabila menerima tawaran mengacarakan program masakan Dapur Panas yang disiarkan menerusi TV3.

Tidak dinafikan, fasa awal pengacaraan saya menerima banyak kritikan daripada pihak produksi kerana gagal berinteraksi di depan kamera dengan baik. Bagaimanapun, setiap teguran itu saya jadikan pemangkin untuk lunaskan tugasan terbaik dari semasa ke semasa.

Saya mempertingkatkan mutu pengacaraan dengan berlatih bercakap di depan cermin dan menghasilkan vlog. Kita perlu ingat melakukan pembaharuan luar daripada kepakaran bukan perkara mudah, tetapi ia akan menjadi mudah apabila disusuli dengan usaha, semangat dan tidak berputus asa.

4) Adakah kerjaya cef selebriti ini membuahkan banyak pengalaman manis buat anda?

FAZLEY: Pengalaman manis apabila saya juga berpeluang memperkenalkan tiga resepi utama iaitu daging salai lemak cili api yang hadir dalam bentuk pasta, sandwic dan lauk dan rendang daging Minang (dimasak selama lapan jam menggunakan rempah sendiri).

Ia termasuklah, sambal-sambal Minang yang terdiri daripada sambal merah, sambal hitam, sambal hijau dan sambal goreng. Ketiga-tiga menu itu merupakan asas dalam dunia kulinari saya.

NAEM: Ya. Jika diikutkan terlalu banyak momen manis dikutip dalam tempoh tiga tahun memegang gelaran ‘Cef Selebriti’ ini. Pengalaman paling manis apabila saya berpeluang mengunjungi negara luar seperti di Thailand, China dan Perth, Australia untuk menerokai variasi makanan tradisi di sana. Ia termasuklah, mengelilingi Sabah yang terkenal dengan pelbagai etnik dan budaya.