ICERD: Penjajahan baharu negara barat

Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid Hamidi
A
A
A

KUANTAN - Umno tidak akan berunding dengan mana-mana pihak dan menolak sepenuhnya Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang merupakan suatu bentuk penjajahan baharu daripada negara barat.

Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pihaknya tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan PH meratifikasi ICERD kerana situasi politik di Malaysia sangat berbeza di samping tidak timbul permasalahan terhadap empat perkara yang termaktub dalam dasar perlembagaan.

Menurutnya, keharmonian negara selama ini telah berjaya dikecapi kerana rakyat memegang terhadap asas kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh tiga kaum terbesar iaitu Melayu, Cina dan India sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan.

“Ini juga tidak bererti Umno menolak agama lain atau mengetepikan kumpulan dan etnik bangsa lain yang ada di Malaysia dan perkara ini bukan disebabkan Ketuanan Melayu tetapi apa yang penting kandungan yang ada dalam perlembagaan itu di atas persetujuan semua kaum.

“Sepatutnya apa yang termaktub itu harus dihormati sampai bila-bila dan kita amat khuatir ada agenda yang tersembunyi ingin dilakukan oleh kerajaan jika ratifikasi konvensyen (ICERD) itu dilakukan,”katanya dalam sidang media ketika ditemui pada Majlis Tertutup Perjumpaan ahli Umno Negeri Pahang di Yayasan Negeri Pahang di sini, hari ini.

Turut hadir sama, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Ahmad Zahid berkata Himpunan Aman ICERD di tujuh buah negeri semalam membuktikan peserta bukan hanya melibatkan gerakan Umno dan Pas tetapi turut melibatkan badan bukan kerajaan (NGO) serta rakyat yang menolak ICERD

“Kita tidak menolak akan ada himpunan berskala besar seperti yang pernah disebutkan oleh Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man...Saya harap kerajaan melakukan pertimbangan semula untuk meratifikasi ICERD.

Artikel Berkaitan:

“Tetapi jika kerajaan terus berdegil maka tunggulah harga mahal yang akan dibayar apabila kerajaan menerima ketidakpuasan hati dan kemarahan rakyat ini sebagai satu hakikat. Maka jangan ada agenda tersembunyi yang dilakukan oleh mana mana menteri yang mewakili kerajaan untuk mencabar rakyat,” katanya.